suria

Pelajar Tahfiz Hilang Di George Town Ditemui Di Taiping

GEORGE TOWN: Pelajar tahfiz yang hilang selepas menumpang motosikal lelaki tidak dikenali di Jambatan Pulau Pinang, pada Jumaat lepas melalui detik traumatik apabila dibawa bermalam di hotel di Taiping, Perak sebelum ditemui keesokan harinya.

Mohammad Muzzafar Mohammad, 11, yang masih trauma dan kebingungan dengan kejadian itu berkata dia dibawa lelaki berkenaan ke hotel tersebut dengan menaiki motosikal sebelum ditinggalkan di perhentian bas di Taiping pada malam keesokannya.

Pelajar itu menumpang motosikal tersebut selepas motosikal bapa tirinya pancit di Jambatan Pulau Pinang, pada Jumaat lepas.

"Mulanya pak cik itu kata nak hantar balik tapi lepas itu dia bawa pi (pergi) rumah dia di hotel. Saya takut...dia bawa motor sampai Taiping. Dekat hotel itu dia seorang sahaja dan tak ada orang lain. Pak cik itu tak cakap apa-apa.

"Dia letak saya dekat stesen bas lepas itu orang awam jumpa saya bawa pi balai polis," katanya ketika ditemui di Balai Polis Jelutong, di sini awal pagi Ahad.

Terdahulu, anggota polis yang membawa pulang Mohammad Muzaffar dari Balai Polis Taiping tiba di Balai Polis Jelutong pada pukul 1 pagi Ahad sebelum menyerahkannya kepada keluarga selepas selesai mengambil keterangannya.

Mohammad Muzaffar berkata dia tidak dapat menghubungi keluarganya kerana tidak ingat nombor telefon ibunya.

Sementara itu, bapa tiri Mohammad Muzaffar, Sabri Abdul Ghani, 53, yang turut hadir di balai polis tersebut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari dan menyelamatkan anaknya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, Sabri baru mengambil Mohammad Muzaffar dari sekolah tahfiz di Seberang Jaya dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Rawa, Sungai Pinang di sini, apabila tayar belakang motosikalnya pancit.

Seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang menunggang motosikal jenis Kriss warna hitam kebetulan melalui kawasan tersebut dan menawarkan diri membantu dengan menumpangkan kanak-kanak berkenaan menaiki motosikalnya.

Sabri membenarkan anak tirinya menumpang lelaki itu sambil dia mengekori mereka dan sehingga tiba di simpang masuk Jalan Haji Ahmad Nor, dia telah ketinggalan jauh dan tidak nampak lagi kelibat mereka.

Kehilangan kanak-kanak itu turut menjadi viral dalam laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak kelmarin sebelum mangsa ditemui orang awam di perhentian bas di Taiping pada pukul 7 malam Sabtu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Razarudin Hussin berkata mangsa akan menjalani pemeriksaan di hospital pada Ahad.

Razarudin berkata polis akan membawa kanak-kanak itu ke Taiping untuk mengenal pasti lokasi hotel berkenaan dan usaha mengesan lelaki yang  melarikan mangsa juga giat dijalankan. - BERNAMA

pelajar tahfiz, hilang

Artikel Berikut

Artikel Lain