suria

Sindiket Dadah Lumpuh, Ganja Lebih 8kg Dirampas

R. Ravi Chandran (dua, kiri) menunjukkan rampasan lapan bungkusan dadah jenis ganja seberat 8091.03 gram bernilai RM16,000 pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak (IPK), Isnin. fotoBERNAMA

IPOH: Polis Perak berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah di sekitar bandar raya ini selepas menahan seorang lelaki bersama ganja seberat 8.09 kilogram di sini Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak ACP R. Ravi Chandran berkata suspek yang berumur 46 tahun itu ditahan di kawasan parkir sebuah hotel di Jalan Raja DiHilir kira-kira pukul 11.30 pagi.

Katanya polis turut merampas sebuah beg daripada suspek yang mengandungi ganja bernilai lebih RM16,000 dipercayai untuk diedar di sekitar Ipoh dan boleh digunakan oleh kira-kira 7,500 penagih.

"Kita dapat maklumat daripada orang awam mengenai adanya transaksi pengedaran dadah di kawasan itu. Sebelum suspek dapat ditahan, berlaku pergelutan antaranya dan polis," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini Isnin.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah sebuah kereta jenis Hyundai Accent yang dilaporkan hilang pada 13 Ogos lalu.

Ravi berkata siasatan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan turut mempunyai 12 rekod lampau yang hampir keseluruhannya berkaitan dadah.

Suspek kini direman enam hari mulai 14 Oktober lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ravi menegaskan pihaknya masih giat mengesan saki-baki anggota sindiket pengedaran dadah itu selain sindiket dadah lain yang cuba bertapak di Ipoh. - BERNAMA

sindiket dadah, Ipoh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain