suria

Kes Kevin Morais: Mahkamah Putuskan Keterangan Saksi Ke-37 Tidak Boleh Diguna

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar perbicaraan kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais pada Isnin memutuskan bahawa keterangan saksi pendakwaan ke-37 dalam kes itu tidak boleh diguna pakai.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu setelah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar keterangan tukang jahit S.Yogeswari, 37, yang memberi keterangan pada perbicaraan hari ke-25 kes itu.

"Saya membenarkan pihak pendakwaan untuk mencabar keterangan saksi. Dengan ini, keterangannya (saksi) tidak akan diambil kira dalam perbicaraan ini," kata beliau sebelum prosiding perbicaraan hari ke-28 bermula Isnin.

Pada 28 September lepas, Mahkamah Tinggi mendapati keterangan Yogeswari, pemilik kenderaan pacuan empat roda yang digunakan untuk melanggar kereta Kevin Morais, bercanggah dengan laporan polis yang dibuat Pegawai Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim Inspektor M. Vasu pada 27 September 2015.

Pada hari sama, Hakim Azman mendapatkan penjelasan daripada Yogeswari dalam prosiding mencabar kebolehpercayaan keterangan saksi dan memanggil semula Inspektor Vasu, saksi pendakwaan ke-36, untuk memberi keterangan.

Pada 30 September lepas, Yogeswari didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memberi keterangan palsu dalam perbicaraan kes itu.

Yogeswari, yang mengaku tidak bersalah, didakwa memberi keterangan palsu semasa memberi keterangan sebagai saksi dalam prosiding perbicaraan jenayah di hadapan Azman seperti dalam Lampiran B (Lampiran keterangan palsu) dengan tertuduh tahu bahawa keterangannya adalah palsu.

Lampiran B itu merujuk kepada keterangan Yogeswari mengenai kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton bernombor PEP 1135 miliknya yang didakwa digunakan untuk melanggar kenderaan dipandu Kevin Morais.

Dalam keterangannya sebelum ini, wanita itu memberitahu mahkamah bahawa dari 2 Ogos 2015 sehingga 11 September 2015, kenderaan itu ada bersamanya pada setiap malam.

Bagaimanapun, keterangannya itu didapati bercanggah dengan keterangan yang diberikannya kepada Inspektor Vasu pada 27 September 2015, iaitu kenderaan tersebut tidak ada bersamanya tetapi seorang lelaki bernama Selvam menyimpan kenderaan itu sepanjang masa pada tarikh tersebut.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Dr Ahmad Zulkefli, 29, dari Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata seorang pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul datang ke HKL pada pada kira-kira 2 petang 27 September 2015 bersama-sama 11 suspek lelaki termasuk tujuh tertuduh dalam kes itu.

Saksi pendakwaan ke-42 itu berkata pegawai itu Inspektor Muhamad Asyraf Hashim meminta beliau mengambil darah kesemua lelaki berkenaan bagi mendapatkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).

"Beliau datang dengan borang permohonan daripada pihak polis dan borang kebenaran bertulis dari suspek sekiranya mereka bersetuju untuk pengambilan darah bagi tujuan DNA.

"Kesemua suspek bersetuju untuk pengambilan darah itu," kata Dr Ahmad.

Ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin tentang bagaimana beliau memastikan kesemua darah itu tidak bercampur antara satu sama lain, beliau menjelaskan bahawa kesemua suspek diberikan kod klinikal.

Enam lelaki - G.Gunasekaran, 48, R.Dinishwaran, 24, A.K. Thinesh Kumar, 23, M.Vishwanath, 26, S.Nimalan, 23, dan S.Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Kolonel Dr R. Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan bersambung pada Selasa. - BERNAMA

kes bunuh, Kevin Morais

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain