suria

Dua Rakan Maut Kereta Terbabas Di Slim River

Satu daripada tiga kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berhampiran Jambatan Sungai Slim River menghala ke Kampung Balun pada Isnin. 
Dalam kejadian awal pagi itu, dua maut manakala dua cedera parah dan tiga lagi mangsa cedera ringan. fotoBERNAMA

IPOH: Dua rakan maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 105, Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Jambatan Sungai Slim, Slim River pada Isnin.

Dalam kemalangan kira-kira 6.40 pagi itu, Muhammad Hafizi Disa, 25, dan Muhammad Syafie Abdul Latif, 25, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri Supt Wan Jamil Wan Chik berkata kemalangan itu turut mengakibatkan seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Salmah Sabil, 55, cedera parah dan tiga yang lain cedera ringan.

Mereka ialah pemandu Nissan Sylphy yang dikenali sebagai Lim Tho, 74, serta dua penumpang Perodua Axia, Nursyaqinah Abd Latiff, 15 dan Norhamizah Hakim, 24.

Wan Jamil berkata kejadian berlaku apabila kereta Perodua Axia, yang dipandu Muhammad Hafizi dari Tanjung Malim ke Slim River, hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

"Sebuah kereta Nissan Sylphy cuba mengelak Axia itu lalu melanggar pokok di tepi jalan manakala kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Inova yang dipandu Salmah melanggar Axia," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata mayat dua rakan itu dibawa ke Hospital Slim River untuk dibedah siasat manakala mereka yang cedera juga dirawat di hospital sama. - BERNAMA

kemalangan, maut

Artikel Lain