suria

Rakan Subahat Kes Bunuh Bakal Abang Ipar Diberkas

KUALA TERENGGANU: Polis berjaya memberkas seorang lelaki yang disyaki bersubahat dalam kes bunuh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan di tempat letak kereta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (Maidam) pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata lelaki yang bekerja sebagai tukang rumah itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang Ahad di Jalan Tanjung Bunut, Kampung Buluh Gading, di sini.

Wan Abd Aziz berkata hasil penahanan itu polis turut merampas kereta jenis Honda Civic yang digunakan lelaki itu dan suspek kes bunuh untuk melarikan diri.

"Kereta tersebut disorokkan di tepi kawasan padang rumput di sebelah kandang lembu di Kampung Dusun Tembakau," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Wan Abd Aziz berkata kereta tersebut ditemui selepas lelaki berkenaan memaklumkan kereta itu telah diserah kepada bapa saudaranya untuk disorok di kampung tersebut.

"Susulan maklumat itu, pada hari sama kira-kira pukul 4.45 petang sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Terengganu bersama anggota Balai Polis Manir menyerbu lokasi berkenaan dan menahan bapa saudara lelaki tersebut yang berumur 55 tahun," katanya.

Katanya lelaki itu dan bapa saudaranya kini ditahan reman selama seminggu bagi siasatan lanjut berhubung kes bunuh tersebut.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi Ahad, mangsa, Mohd Shukri Husin, 34, mati setelah ditikam enam kali di tempat letak kereta Maidam.

Suspek kemudian melarikan diri dengan kereta jenis Honda Civic yang dipandu seorang rakannya.

Polis mengadakan Ops Tutup bagi memburu suspek yang masih gagal dikesan. - BERNAMA


JPJ, kes bunuh, bakal abang ipar

Artikel Lain