suria

40 Hektar Ladang Sawit, Semak Terbakar Di Sarawak

Gambar hiasan.

SIBU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berusaha memadam kebakaran terbuka di kawasan ladang kelapa sawit dan semak seluas kira-kira 40 hektar di negeri ini, Ahad.

Penolong Pengarah Operasi jabatan itu, Farhan Sufyan Borhan berkata, kawasan terbesar yang terbakar ialah ladang kelapa sawit yang baru dibuka berhampiran Lapangan Terbang Bintulu melibatkan kawasan 20 hektar.

Beliau berkata, ladang itu masih lagi terbakar sehingga 8.30 malam tadi berikutan kesukaran pasukan bomba dan penyelamat memadam kebakaran berikutan sumber air yang jauh. 

"Selain anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, turut membantu dalam operasi memadam kebakaran di kawasan ladang itu ialah anggota Pasukan Bomba Sukarela Jepak dan pekerja-pekerja ladang.

"Turut berada di lokasi kejadian pegawai dari NREB, JAS dan Pejabat Residen Bahagian Bintulu. Operasi akan disambung semula 8 pagi esok," katanya kepada Bernama di sini.

Kawasan lain yang terlibat ialah di 141 Jalan Tatau-Sibu yang merangkumi kawasan seluas 4.045 hektar, Bintangor (1.62 hektar),  0.81 hektar masing-masing di Jalan Mission, Kanowit; Jalan  hahar, Sungai Buloh, Oya; Jalan Sungai Moyan, Batu Kawa (Kuching); Jalan Ulu Sungai Merah dan berhampiran Jambatan Lebaan di Jalan Sibu-Tanjung Manis.

Kebakaran kecil pula dilaporkan berlaku di kawasan berhadapan Klinik Ulu Layar dan Skim Skrang (Betong) serta KM60 Stabun, Serian.

"Kesemua kawasan itu dapat dikawal daripada merebak ke kawasan-kawasan berhampiran," katanya.

Siasatan awal mendapati sebahagian besar kebakaran itu berpunca daripada mengambil kesempatan cuaca panas hari ini untuk membuat pembakaran terbuka bagi tujuan pertanian. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain