suria

Tak Sangka Bakal Suami Sanggup Tikam Abang - Adik Mangsa

Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU: "Saya tidak sangka bakal suami saya yang selama ini berperwatakan lembut sanggup bertindak agresif dan menikam abang saya," kata Azlina Husin, 27, adik kepada kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dibunuh di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (Maidam), di sini pagi Ahad.

Beliau bersama enam anggota keluarganya termasuk abangnya bertolak dari Kelantan kira-kira pukul 10 pagi Sabtu dan tiba di Pejabat Maidam pada pukul 10.30 pagi Ahad bagi mengesahkan status bakal suaminya itu.

Azlina berkata, beliau terkejut apabila diberitahu pihak Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Terengganu bahawa suspek yang berumur 29 tahun itu pernah berkahwin, sedangkan dia sebelum ini mempertahankan bahawa dia masih bujang.

"Selepas dimaklumkan dia telah berkahwin, saya terus berkata cukup setakat ini sahaja, kerana saya telah berjanji dengan keluarga saya untuk tidak bersamanya jika dia suami orang. Dia dengan tenang menerimanya (keputusan).

"Sejurus itu abang saya mengajak dia pergi minum. Namun tiba-tiba kami terkejut, bila diberitahu abang saya telah ditikam," katanya kepada pemberita di Bilik Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Azlina berkata, dia mula mengenali lelaki tersebut enam tahun lalu menerusi telefon, namun hubungan mereka terputus seketika ekoran kekangan kerja dan kembali berhubung rapat dua tahun lepas.

Beliau berkata, hasrat untuk melangsungkan perkahwinan dengan lelaki berkenaan dibuat tahun ini selepas beberapa kali lelaki itu menangguh perkara tersebut apabila diajak berkahwin sejak tahun lepas.

"Abang saya sebelum ini ada memaklumkan bahawa bakal suami itu telah berkahwin, namun saya enggan mempercayainya lantas saya membuat keputusan untuk menyemak statusnya," katanya.

Anak keenam daripada sembilan adik beradik ini berkata bakal suaminya itu adalah seorang yang berperwatakan lembut dan sentiasa prihatin, namun tidak menyangka dia bersikap seperti itu.

"Saya harap dia ditangkap segera sebab jika dia boleh lakukan perkara itu pada abang saya, mungkin juga dia boleh lakukan benda yang sama pada saya dan ahli keluarga saya yang lain.

"Sebelum ini abang saya selalu menasihatinya dan meminta saya agar membuat keputusan yang tepat. Abang juga seorang yang sangat bertanggungjawab. Saya sangat terkilan disebabkan saya, abang saya yang menjadi mangsa," katanya.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, mangsa ditikam sebanyak enam kali dengan pisau.

Suspek kemudian melarikan diri bersama seorang rakannya dengan kereta. - Bernama

Artikel Lain