suria

Polis Minta Jangan Lindung Suspek Bunuh Bakal Abang Ipar

KUALA TERENGGANU: Pihak polis meminta orang ramai agar tidak melindungi suspek yang sedang diburu berhubung kes pembunuhan seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di tempat letak kereta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (Maidam) di sini, pagi Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap individu yang berbuat demikian.

Beliau berkata, polis sedang memburu suspek berusia 29 tahun itu, yang berasal dari Manir, kerana dipercayai menikam Mohd Shukri Husin, 34, sebanyak enam kali sehingga maut.

Kejadian bermula apabila mangsa dari Kelantan datang bersama keluarganya ke pejabat Maidam bagi menyemak status suspek yang mendakwa dia masih bujang untuk berkahwin dengan adik mangsa.

Apabila tembelang sebenar suspek diketahui, berlaku pertengkaran dan pergaduhan antara suspek dan mangsa hingga membawa kepada pembunuhan mangsa.

Wan Abd Aziz berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan di beberapa lokasi yang sering dikunjungi mangsa termasuk di rumah anggota keluarganya.

Beliau berkata, Ops Tutup turut dilancarkan bagi mengesan suspek dan seorang lagi rakannya.

Suspek dipercayai telah bersedia dengan pisau yang dibalut dengan kertas surat khabar dan disimpan di dalam poketnya, katanya. - Bernama

Artikel Lain