suria

MIC Harap Kerajaan Sedia Dana Perumahan Khas Untuk Masyarakat India

Perdana Menteri yang juga Presiden Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bergambar bersama Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam (empat, kiri) dan ahli jawatankuasa tertinggi parti selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra , Ahad. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: MIC berharap kerajaan menyediakan dana perumahan khas RM50 juta untuk masyarakat India selain memperuntukkan 10 peratus rumah mampu milik di bawah Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) buat masyarakat itu.

Ini kerana harga rumah yang tinggi dan ketidaklayakan pinjaman menyebabkan ramai warga India tinggal di rumah sewa.

Itu antara resolusi yang diluluskan pada Perhimpunan Agung MIC ke-70 di sini Ahad dalam usaha meningkatkan tahap pembangunan sosio-ekonomi kaum itu di negara ini.

Resolusi itu dibentangkan Timbalan Presiden MIC merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K. Devamany.

Selain itu, MIC menggesa supaya sebanyak tujuh peratus daripada agihan projek kementerian ditawarkan kepada kontraktor kaum India.

Dalam bidang pendidikan, parti komponen Barisan Nasional itu mencadangkan Kementerian Pendidikan Tinggi mewajibkan agihan 10 peratus tempat dalam Kursus Asasi di semua universiti awam kepada pelajar kaum India.

Resolusi itu turut menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah membawa kestabilan dan kemakmuran khususnya kepada masyarakat India melalui pelbagai inisiatif dan dana pembangunan sosioekonomi. 

Sokongan juga dizahirkan kepada Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam atas sifat kepimpinan yang ditunjukkan demi masa depan parti.  

Resolusi itu disokong dan diterima sebulat suara oleh perwakilan yang hadir. - Bernama

Artikel Lain