suria

Usul Mansuh Larangan Pemilikan Anjing Dibentang Minggu Depan

MELAKA: Usul untuk memansuhkan peraturan larangan pemilikan anjing bagi mereka yang tinggal di rumah teres lot tengah di negeri ini akan dibentangkan dalam mesyuarat exco minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan NGO negeri, Datuk M. S. Mahadevan berkata, beliau akan mencadangkan juga mengenai aduan anjing bising dan pemilik tidak bertanggungjawab untuk diuruskan mengikut kes.

"Saya akan bentangkan usul bersama dengan cadangan daripada kumpulan kebajikan haiwan agar peraturan itu dimansuhkan," katanya kepada The Star pada Isnin.

Mahadevan berkata, kebanyakan pihak mempertikaikan larangan itu dengan mendakwa kerajaan negeri bersikap prejudis terhadap haiwan tersebut.

Katanya, perkara itu adalah punca kenapa beliau mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan supaya fokus kepada pemilik yang mengabaikan haiwan peliharaan.

"Peraturan itu diperkenalkan pada 2012 susulan beberapa aduan terhadap pemilik haiwan yang tidak bertanggungjawab," kata Mahadevan.

Larangan itu berkuat kuasa pada 2013.

Beliau berkata bagaimanapun, hanya segelintir lesen pemilikan anjing ditolak sejak peraturan itu dikuatkuasakan dan kira-kira 3,013 lesen diluluskan pada tahun ini.

"Saya yakin ketua menteri akan mempertimbangkan untuk memansuhkan peraturan ini dengan sokongan dalam bentuk fakta daripada kumpulan kebajikan haiwan," katanya.



Artikel Sebelum

Artikel Lain