suria

Amanah Tuntut Abdul Hadi Perjelas RUU Akta Mahkamah Syariah

Khalid Samad.

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya memberi penjelasan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang dibentangkannya di Dewan Rakyat pada Mei lalu.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mendakwa, RUU itu tidak jelas dan mengelirukan, malah ia dilihat tidak boleh memperkasakan Mahkamah Syariah.

Khalid berkata, Biro Undang-Undang (Kanun) parti itu akan menghantar surat menuntut  Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang itu menjawab persoalan berbangkit.

"Kita akan serah surat hari ini kepada PAS dan YB  Marang. Kita beri tempoh kepada beliau memberi penjelasan sehingga akhir bulan ini," kata Khalid pada sidang media di Ibu Pejabat Amanah di sini, Selasa.

Awal bulan ini, Amanah mempersoalkan kekeliruan berhubung RUU itu selain cadangan meningkatkan hukuman yang jelas menimbulkan ketakutan dan salah faham di kalangan rakyat.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, empat perkara yang dipersoalkan berhubung RUU berkenaan ialah apakah yang diperkasakan, kenapa diganti seluruh Seksyen 2, kenapa Seksyen 2 (a) tidak menyebut had dan jenis hukuman serta apakah kesan pindaan ini kepada institusi Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun Khalid menjelaskan bahawa desakan itu perlu dilihat secara positif dalam membantu PAS menjawab segala persoalan berikutan penjelasan mereka lebih bersifat retorik.

"Tetapi anda tidak memperjelaskan secara teknikal termasuk implikasinya. Oleh itu, bagi membantu mereka, kita sediakan 'soalan-soalan' untuk mereka jawab," katanya.

Pada 6 September lalu, Amanah menerusi kenyataan kepada media meminta Abdul Hadi supaya menjelaskan implikasi mengenai usulnya.

Bagaimanapun Khalid mengakui tiada surat rasmi dihantar kepada PAS atau Abdul Hadi, sehingga Amanah perlu berbuat demikian pada Selasa untuk mendapatkan penjelasan.

RUU akta berkenaan yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mei lalu itu akan dibahaskan Oktober ini.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain