suria

Jangan Jadikan Insiden Keganasan Jejas Sambutan Aidilfitri - Zahid

Ahmad Zahid Hamidi.

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua rakyat Malaysia tidak menjadikan beberapa insiden keganasan yang berlaku baru-baru ini merosakkan kemeriahan dan kegembiraan sambutan perayaan Aidilfitri.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pengeboman berani mati di Masjid Nabawi di Madinah, serangan di Turki dan Bangladesh masing-masing mengorbankan nyawa, serta pengeboman di kelab malam di Puchong sememangnya amat mendukacitakan.

Tambah Zahid, negara akan menentang habisan habis-habisan dan sama sekali tidak akan berkompromi dengan apa sahaja aktiviti berkaitan dengan keganasan, terutama dakwaan serangan di Puchong didalangi militan IS yang juga pertama seumpamanya di negara ini.

"Namun begitu, kita perlulah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pasukan keselamatan kita dalam profesionalisme mereka untuk menangani isu berkenaan.

"Dalam musim perayaan ini, janganlah kejadian seumpama itu dibiarkan merosakkan kegembiraan dan kemeriahan sambutan perayaan kita," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun katanya, walaupun isu keselamatan diserahkan kepada pihak berwajib, rakyat perlu mengambil tahu mengenai perkembangan yang berlaku di sekeliling.

Menurut Zahid, segenap lapisan rakyat Malaysia perlu menyambut perayaan ini dengan semangat persaudaraan yang teguh berteraskan 1Malaysia.  

"Malaysia ini adalah anugerah kepada kita, seluruh lapisan rakyat Malaysia. Kita, tidak kira apa juga agama, kaum atau budaya, perlu bersyukur dengan apa yang kita kecapi kini yang didapati tanpa perlu berperit jerih. 

"Kita berada dalam keadaan aman, hidup tanpa peperangan, yang mana kita kini bersama-sama berganding bahu ke arah memajukan negara kita ini," ujar Zahid.


Artikel Lain