suria

Polis Ikrar Buru Militan Daesh Keluar Ancaman Melalui Media Sosial

KUALA LUMPUR: Berikutan tindakan militan Daesh mengisytihar perang ke atas Malaysia dan Indonesia melalui klip video, polis Malaysia berikrar memburu mereka yang mengeluarkan ancaman melalui media sosial untuk menakut-nakutkan orang ramai.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun pada Selasa berkata, polis tidak akan berkompromi dalam kes mana-mana pihak yang cuba menyebarkan ideologi kumpulan itu di negara ini.

"Polis akan memantau daripada semua aspek, termasuk (klip video) Youtube, antara medium yang kerap digunakan kumpulan itu untuk menakut-nakutkan rakyat," katanya kepada Bernama.

Daesh dilapor mengisytiharkan perang terhadap Malaysia dan Indonesia dalam klip video yang dikeluarkan di mana kumpulan militan itu mahu menjatuhkan para pemimpin dan kerajaan.

Mohamad Fauzi berkata, polis akan memantau setiap platform media sosial yang ada di negara ini.

Katanya, walaupun video yang dikeluarkan Daesh itu sekadar drama mereka untuk menakut-nakutkan rakyat negara ini, namun PDRM memandang serius perkara itu.

"Mereka ini (militan Daesh) tidak akan berhenti untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia.

"Mereka menggunakan media sosial sebagai platform untuk mengugut dan mengancam menyerang negara dan kita mesti memperkasakan proses undang-undang untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini," katanya.

Mohamad Fuzi berkata, matlamat utama kumpulan militan Daesh adalah melakukan serangan ganas dan memastikan agar rakyat Malaysia sentiasa berada dalam ketakutan. 

"Inilah taktik yang digunakan oleh Daesh untuk menakutkan rakyat, namun perkara ini tidak boleh dibenarkan berlaku di Malaysia," katanya. - Bernama

Daesh, PDRM

Artikel Lain