suria

Kapsul Plasenta Ashley Hauyi Tidak Berdaftar Dengan KKM - KP Kesihatan

KUALA LUMPUR: Kapsul plasenta yang diiklankan oleh Ashley HauYi dalam laman Facebook sejak kebelakangan ini adalah produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Kementerian (KKM).

Justeru, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata orang awam tidak digalakkan untuk mengambil produk tidak berdaftar itu kerana keselamatan penggunaan produk berkenaan tidak dapat dijamin.

"KKM telah menerima aduan mengenai penjualan kapsul plasenta melalui laman Facebook. Bahagian Penguatkuasa Farmasi dan cawangannya di setiap negeri telah memulakan aktiviti pemantauan laman web termasuk media sosial yang aktif menjual dan mengiklankan produk farmaseutikal secara haram sejak 2013.

"KKM akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap penjualan produk tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Mengulas mengenai kesan pengambilan plasenta terhadap ibu dan bayi yang menyusu badan, beliau berkata kajian oleh Northwestern University, Amerika Syarikat menjelaskan bahawa risiko pengambilan plasenta adalah tidak diketahui kerana kajian yang dijalankan tidak mengumpul maklumat daripada aspek itu.

Kajian yang sama juga membuat kesimpulan bahawa tiada bukti yang menyokong tuntutan manfaat pemakanan plasenta seperti perlindungan terhadap kemurungan selepas kelahiran atau peningkatan penghasilan susu badan, katanya. 

Dr Noor Hisham menegaskan bahawa semua produk perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum diimport, dikilang, dijual atau dibekalkan dan penjual juga harus memohon kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat sebelum mereka boleh mengiklankan produk mereka di sebarang medium termasuk media sosial.

Beliau mengingatkan pengguna agar tidak membeli produk kesihatan yang tidak berdaftar di pasaran termasuk secara dalam talian selain menjelaskan produk ubat yang berdaftar wajib mempunyai nombor pendaftaran MAL dan label Hologram MeditagTM.

Pengguna boleh menyemak status pendaftaran produk kesihatan di laman web Bahagian Perkhidmatan Farmasi(www.pharmacy.gov.my) atau Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan(www.bpfk.gov.my).

Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui Facebook rasmi penguatkuasaan farmasi iaitu Pilih Ubat Berdaftar. -- Bernama

Artikel Lain