suria

‘Surat Jaminan’ DCA, Mavcom Mampu Ubah Nasib Pekerja Rayani Air?

PETALING JAYA: Ketika Aidilfitri yang berbaki kurang seminggu lagi, nasib kira-kira 400 pekerja Rayani Air kini dikatakan mampu diubah di tangan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menerusi ‘surat jaminan’ daripada dua badan itu, bagi membolehkan syarikat penerbangan itu beroperasi semula.

Difahamkan, surat jaminan tersebut dapat meyakinkan para pelabur yang berminat untuk memberi suntikan modal kepada syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu, bahkan sahaja dari segi operasi tetapi juga melunaskan tunggakan gaji semua pekerjanya, bernilai jutaan ringgit.

Pengasas bersama Rayani Air, Datuk Karthiyani Govindan berkata, proses mendapatkan pelabur berpotensi untuk membeli saham syarikat sudah mencapai 90 peratus tetapi hasrat itu terpaksa dilupakan selepas pembatalan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) oleh Mavcom dan Sijil Pengendali Udara (AOC) oleh DCA.

Karthiyani (kiri) dan Ravi (tengah) bersama Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman pada majlis penyerahan ASL dan AOC kepada Rayani Air, Disember lalu.

Karthiyani berkata, pembatalan pada saat akhir itu sekali gus memberi kesan kepada 415 pekerja Rayani Air yang mengharapkan gaji dibayar, dengan sebahagian besarnya akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Kami berusaha keras untuk mendapat pelabur demi melunaskan tunggakan gaji pekerja. Semua usaha itu ‘memusnahkan’ harapan kami apabila Mavcom dan DCA membatalkan lesen Rayani Air.

“Beberapa pelabur masih berminat dalam Rayani Air sehingga ke hari ini tetapi kebimbangan utama mereka ialah jaminan daripada Mavcom dan DCA. 

“Mereka mahu dokumen secara hitam putih yang membenarkan Rayani Air diterbangkan semula sekiranya pelabur yang memberikan suntikan dana,” katanya kepada mStar Online

Pada 13 Jun lalu, Mavcom menjelaskan bahawa pembatalan ASL itu disebabkan oleh Rayani Air melanggar syarat lesen berkenaan, selain tidak mempunyai keupayaan kewangan dan pengurusan untuk terus beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial.  

Pada hari sama, DCA pula membatalkan AOC bagi Rayani selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat itu.

Surat yang mengarahkan pemilik Rayani Air membuat bayaran tuntutan kes buruh yang tertunggak.

Karthiyani yang juga Pengarah Kewangan dan Sumber Manusia Rayani Air berkata, dengan jaminan itu nanti, pelabur yang berpotensi akan menyediakan bukti dana yang menunjukkan keupayaan syarikat penerbangan itu untuk beroperasi semula.

“Kakitangan kami turut berharap supaya operasi Rayani Air dapat dikembalikan semula sebagaimana yang diharapkan kami. Sehubungan itu, kami berharap Mavcom dan DCA dapat mempertimbangkan rayuan kami,” katanya sambil menambah rayuan kepada dua badan itu telah dikemukakan oleh pemilik Rayani Air pada Isnin lalu.

Pada Isnin lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu sidang media berkata, keputusan pembatalan ASL dan AOC bagi Rayani Air masih kekal, tetapi syarikat penerbangan itu boleh membuat rayuan kepada Mavcom dan DCA.

Pada Selasa, mStar Online melaporkan dakwaan bahawa Rayani Air tidak dapat melunaskan tunggakan gaji pekerja sebelum Aidilfitri seperti yang dijanjikan apabila wakil syarikat itu memohon penangguhan bagi pembayaran berkenaan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Selangor.

Bagaimanapun, kesukaran itu diakui Karthiyani sebaik menerima surat daripada JTK Selangor supaya membayar gaji yang dituntut oleh sebahagian pekerja Rayani Air kepada jabatan berkenaan, berdasarkan keputusan Mahkamah Buruh.

Mohd Asri (dua, kiri) bersama sebahagian pekerja Rayani Air yang hadir mengadakan pertemuan di Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor di Subang Jaya, Selasa.

Menurut Pengarah JTK Selangor, Mohd Asri Abd Wahab kepada mStar Online, majikan Rayani Air diberi tempoh sehingga Khamis (30 Jun) untuk melunaskan bayaran tuntutan kes buruh yang tertunggak terhadap sebahagian pekerjanya.

“Jika perintah itu tidak diselesaikan, tindakan seterusnya adalah membawa kes berkenaan dengan mengambil tindakan undang-undang,” jelas Mohd Asri yang menyerahkan sendiri surat berkenaan kepada Karthiyani dan Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran pada Selasa.

Tambah Mohd Asri, tuntutan gaji itu adalah bagi Mac dan 10 hari pada April, tempoh sebelum Rayani Air digantung operasi sementara oleh DCA pada 11 April lalu.

Terdahulu pada Selasa, sekumpulan pekerja Rayani Air mengadakan pertemuan dengan Mohd Asri di pejabat JTK Selangor berhubung tunggakan gaji yang seharusnya diselesaikan oleh pemilik syarikat penerbangan itu sebelum Aidilfitri.

Dilaporkan kebanyakan pekerja Rayani Air kini terbeban dengan kehidupan 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' dan ada yang terpaksa berhutang.

Artikel Lain