suria

Peter Bellew Dilantik CEO, Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Airlines

Peter Bellew
KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) telah melantik Peter Bellew sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd (MAB), mengambil alih jawatan itu daripada Christoph Mueller, berkuatkuasa 1 Julai 2016.

Bellew, yang kini Ketua Pegawai Operasi MAB dan Pengarah Eksekutif MAG dan MAB, juga dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO MAG.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, MAG berkata, perubahan kepemimpinan berkenaan telah diluluskan oleh pemegang saham tunggalnya, Khazanah Nasional Bhd.

"Bellew menjadi anggota pasukan pengurusan kanan MAB sejak hari pertama operasi penuhnya pada 1 September 2015.

"Pelantikannya akan memastikan penerusan dalam pelaksanaan pelan pemulihan serta usaha menstruktur semula keseluruhan Malaysia Airlines (MAS), sebagaimana ditetapkan Khazanah dalam Pelan Pemulihan MAS 12 perkaranya," kata MAG.

Menurutnya, pelantikan Bellew dibuat selepas pencarian komprehensif untuk CEO baru oleh lembaga pengarah Khazanah serta MAB sejak April tahun ini.

Seorang warga negara Ireland, Bellew yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam industri penerbangan, menyertai MAB daripada Ryanair Ltd.
Mueller yang meletak jawatan pada 10 Mac akan berundur daripada Lembaga Pengarah MAB pada 1 Julai.

"Mueller akan terus berkhidmat kepada syarikat sehingga akhir tempoh notis beliau pada 9 September bagi membantu memastikan peralihan kepemimpinan berjalan lancar," kata MAG.

Pengerusi MAG dan MAB, Tan Sri Md Nor Md Yusof berkata, Bellew menjadi tokoh penting dalam pasukan pengurusan kanan syarikat penerbangan itu yang bertanggungjawab melaksanakan transformasi terbesar dan terpantas dalam sejarahnya.

"Pelantikan Bellew akan membuka jalan kepada peralihan yang lancar bagi memastikan kejayaan berterusan syarikat penerbangan nasional kita," tambah beliau.

Artikel Lain