suria

“Saya Tak Malu Rayu Juruterbang Demi Semua Pihak” – CEO Rayani Air

Ravi menunjukkan mesej yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp kepada salah seorang juruterbangnya pada awal pagi Jumaat lalu.

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran menyifatkan rayuannya kepada juruterbang untuk kembali bertugas menerbangkan pesawat bukan satu tindakan yang memalukan.

Beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai pemilik syarikat penerbangan itu bagi memastikan operasi diteruskan demi kebaikan semua kakitangan dan penumpang.

Malah Ravi turut mengakui paparan skrin mengenai rayuannya menerusi aplikasi WhatsApp, yang kini tersebar di media sosial.

“Ya, memang itu mesej saya merayu juruterbang minta mereka terbangkan pesawat. Paparan skrin yang tersebar itu hanyalah dalam grup WhatsApp. Tetapi sebenarnya saya merayu kepada setiap juruterbang, sehingga pukul 2 pagi (Jumaat lalu).

“Saya tak malu merayu kepada juruterbang kerana saya anggap semua kakitangan sebagai keluarga, dan rayuan ini demi kebaikan penumpang dan semua pekerja Rayani Air,” katanya ketika ditemui mStar Online di pejabatnya di Shah Alam, Isnin.

Paparan skrin Ravi merayu kepada juruterbang yang kini tersebar di media sosial.

Menurut petikan mesej berkenaan, Ravi merayu kepada juruterbangnya supaya menerbangkan pesawat demi kebaikan 485 kakitangan syarikat itu.

Ravi turut memohon maaf di atas sebarang kesulitan, dan menjelaskan bahawa pihak yang mahu menaja dana akan menarik diri sekiranya penumpang terkandas bagi penerbangan keesokan hari.

CEO Rayani Air itu turut meraih simpati dengan meminta juruterbangnya membuat pertimbangan terhadap anak-anak dan komitmen yang perlu ditanggung pekerja. 

Ditanya mengenai dana, Ravi mendedahkan terdapat sebuah syarikat yang tampil untuk membuat penajaan berjumlah ‘jutaan ringgit’ bagi fasa pertama dan mendakwa urusan berkenaan hampir dimuktamadkan.

“Bagaimanapun, ia (penajaan) ditarik balik selepas pihak penaja mengetahui terdapat masalah dalaman berkaitan tindakan mogok juruterbang sehingga memaksa penerbangan dibatalkan,” dakwa Ravi.

Sementara itu, Ravi menafikan dakwaan laporan akhbar harian berbahasa Melayu mengenai cerita mogok juruterbang sekadar rekaan pengurusan Rayani Air.

“Tidak timbul soal kami reka cerita kerana screenshot saya merayu kepada juruterbang sudah tersebar di media sosial. 

“Benar, saya hantar emel kepada semua ketua (bahagian) mengenai penggantungan operasi, tetapi hanya selepas rayuan dibuat kepada juruterbang dan mereka masih enggan menerbangkan pesawat,” katanya yang mengakui tindakan mogok disebabkan isu pekerja tidak dibayar gaji.

Laporan akhbar itu mendakwa bahawa semua juruterbang sebenarnya berada dalam keadaan ‘stand-by’ dan tidak berlaku mogok seperti yang didakwa Ravi. 

DCA mengeluarkan notis penggantungan operasi Rayani Air selama tiga bulan berkuat kuasa Isnin.

Ravi mendakwa keputusan penggantungan di pihak syarikat telah dimaklumkan menerusi emel kepada Kementerian Pengangkutan, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, petang Jumaat lalu.

Menurut Ravi, walaupun masih belum mendapat kebenaran DCA, tetapi ‘keadaan memaksa’ menyebabkan pihaknya perlu berbuat demikian.

“Beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan pada Jumaat lepas. Kita tahu penerbangan juga tidak dapat diteruskan pada Sabtu kerana ketiadaan juruterbang.

“Kami tiada pilihan lain, jadi terpaksa menghentikan operasi sementara. Kami tidak mahu penumpang terkandas di lapangan terbang,” katanya.

Pada Isnin, DCA mengeluarkan notis penggantungan operasi Rayani Air selama tiga bulan berkuat kuasa serta-merta di bawah Peraturan 87 (1) Peraturan Penerbangan Awam 1996.

Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, inkuiri ke atas Rayani Air akan dijalankan pada 12 Mei depan berhubung perintah penggantungan.

Rayani Air merupakan syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia dan keempat di dunia selepas Royal Brunei Airlines, Saudi Arabian Airlines dan Iran Air.

Rayani Air, Ravi Alagendrran, DCA

Artikel Berikut

Artikel Lain