suria

PM Beri Amaran Tindakan Jika Wujud Salah Laku Dalam 1MDB

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan diambil jika terdapat sebarang salah laku dalam syarikat kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Minggu lalu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengemukakan laporannya kepada Parlimen. Ia telah mengenal pasti kelemahan dalam struktur dan pengurusan 1MDB. Seperti yang saya katakan minggu lepas, kita perlu memastikan bahawa kelemahannya diperbaiki.

"Tindakan akan diambil jika ada bukti salah laku ditemui. Selain itu lembaga pengarah 1MDB juga telah menawarkan peletakan jawatan mereka," kata Najib ketika menyampaikan ucapan pada majlis Invest Malaysia (IMKL2016) di sini, Selasa.

Bagi mempertahankan 1MDB yang selama ini menjadi subjek tuduhan liar, Najib berkata dana 1MDB akan menjadi bukti bagaimana ia digunakan apabila projek Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia selesai tidak lama lagi.

"Realitinya adalah bahawa terdapat satu proses rasionalisasi dan ia sedang berjalan. Hutang yang besar telah pun dilangsaikan termasuk pembayaran balik dengan kemudahan kredit sebanyak RM950 juta oleh kerajaan pada tahun lepas.

"Asetnya lebih daripada liabiliti, dan aset itu adalah nyata dan boleh dilihat melalui proses yang mereka lakukan," katanya.

Najib Tun Razak, 1MDB

Artikel Berikut

Artikel Lain