suria

Malaysia Terlalu Bergantung Kepada Import Makanan

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia berbangga dengan status negara sebagai 'syurga makanan' tetapi kebanyakan bahan-bahan yang digunakan bukan daripada sumber tempatan sebagaimana yang ditunjukkan dalam bil import makanan berjumlah RM45.4 bilion pada 2015.

Malaysia memperoleh sayur-sayuran, buah-buahan dan daging sekurang-kurangnya daripada 120 negara, mengimport lebih daripada 50 jenis bahan segar dan beku bagi memenuhi selera rakyat terutamanya penggemar makanan.

Buah-buahan seperti tembikai, pisang, nanas dan juga rambutan adalah antara yang diimport dari luar negara dengan kos berjumlah RM1.55 bilion antara Januari dan Jun tahun lalu.

Negara Afrika, Australia, India, Thailand dan China antara yang menjadi sumber Malaysia mendapatkan import buah-buahan.

Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, pada tahun lalu sahaja Malaysia membelanjakan sekitar RM45.4 bilon untuk import makanan.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berkata pada 2014, import makanan berjumlah RM42.6 bilion, peningkatan mendadak sebanyak RM12.4 bilion berbanding empat tahun sebelum itu yang hanya merekodkan bil sebanyak RM30.2 bilion.

Sayur-sayuran seperti bawang merah, bawang putih, brokoli, cendawan, bendi, kacang, keledek, tomato dan cili diimport dari beberapa negara seperti China, India, Thailand, Australia dan juga Singapura.

Antara Januari dan Jun tahun lalu, kerajaan membelanjakan hampir RM1.98 bilion bagi sayur-sayuran import.

Selain itu sebanyak RM1.68 bilion dibelanjakan untuk mengimport ayam, daging lembu, daging kerbau, itik dan daging khinzir dari Amerika Syarikat, China, Australia dan beberapa negara lain.

Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Maklumat Pasaran, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Dr Bisant Kaur berkata, sumbangan pertanian kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menurun sejak 1980.

Ini, katanya, disebabkan dasar pembangunan negara yang mula memberi fokus kepada sektor perindustrian.

Namun sumbangan pertanian kepada KDNK meningkat sedikit sebanyak 2.1 peratus pada 2013 dan 2.6 peratus tahun berikutnya.

"Penyumbang utama kepada produk nilai tambah pertanian adalah kelapa sawit. Agro-makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, padi dan beberapa tanaman lain menyumbang sebanyak 20.1 peratus kepada KDNK sektor pertanian," katanya.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Paul Selvaraj berkata keselamatan makanan perlu menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan negara mengurangkan penggantungan kepada import barang-barang keperluan.

Pada masa ini, negara ini hanya berupaya mengeluarkan produk seperti telur, ayam dan daging khinzir.

"Kita terlalu bergantung kepada import untuk barangan keperluan lain. Itulah sebabnya harga bagi sesetengah barangan agak mahal," katanya.

Justeru beliau menggesa kerajaan untuk memberi penekanan kepada industri tanaman makanan untuk kelestarian yang lebih baik.

Katanya, sejak kerajaan mengalihkan tumpuan daripada sektor pertanian kepada perindustrian, keselamatan tanaman makanan telah diabaikan dengan ketara.

import makanan, Malaysia

Artikel Lain