suria

Tiga Rakyat Indonesia Trauma Imbas Empat Rakan Dari Malaysia Diculik

Tiga daripada enam anak kapal Massive 6, rakyat Indonesia masih trauma memikirkan nasib empat rakan mereka Wong Teck Kang, 31, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan Lau Jung Hien, 21 yang diculik Jumaat lepas. Ketiga-tiga mereka (dari kiri) Petrus Karel Eduar Kaya, Marwandi dan Ismail Birahim kelihatan sugul memikirkan nasib rakan mereka. -fotoBERNAMA
TAWAU: Tiga rakyat Indonesia yang terselamat dalam insiden penculikan melibatkan empat rakyat Malaysia di kawasan perairan Pulau Ligitan, Semporna, masih trauma dengan kejadian itu.

Mereka berdoa semoga empat rakyat Malaysia yang merupakan rakan sekerja dalam pelayaran berkenaan iaitu Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29 dan Lau Jung Hien, 21, segera dibebaskan.

"Kami masih bingung namun berdoa semoga mereka cepat dibebaskan oleh kumpulan lelaki bersenjata yang menculik mereka," kata Kapten kapal Massive 6  Harwandi,38, ketika ditemui pemberita di Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau di sini Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.05 petang Jumaat lepas, Kapal Massive 6 yang dilaporkan dalam pelayaran pulang ke Malaysia selepas menghantar muatan kayu balak ke Manila, diserang sekumpulan lelaki bersenjata yang seterusnya menculik empat rakyat Malaysia berkenaan.

Menceritakan detik hitam itu, Harwandi berkata ketika itu dia sedang bertugas di atas kapal dan sedang meninjau dengan teropong tetapi tiba-tiba dia  melihat sebuah bot laju menuju ke arah mereka.

"Saya terus mempersiapkan segala dokumen yang diperlukan seperti selalu diminta oleh pihak berkuasa ketika melalui laluan tersebut.

"Selepas menyediakan dokumen, saya meneropong semula dan mendapati bot laju itu bukan dari Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) kerana ada di antara mereka yang bertopeng.
 Empat lelaki menaiki kapal kami dan mengacukan senjata sambil mengarahkan semua berkumpul di belakang kapal," katanya.

Menurut Harwandi, mereka cuba menawarkan wang kepada kumpulan lelaki berkenaan namun tidak diendahkan sebaliknya menyuruh mereka berkumpul sebelum mengarahkan keempat-empat rakyat Malaysia berkenaan menaiki bot mereka.

"Ketika penculik itu berada di atas kapal, kami tidak begitu takut kerana mereka tidak agresif dan kami turut apa sahaja arahan mereka yang menggunakan bahasa isyarat, katanya.

Rakan Harwandi, Ismail Birahim, 22, berasal dari Makasar, pula berkata ketika kejadian dia sedang mengemudi kapal namun diarah kumpulan bersenjata itu berkumpul bersama rakan-rakan yang lain.

"Alhamdulillah dengan berkat kuasa Allah, saya dapat meloloskan diri daripada menaiki bot kumpulan lelaki itu. Ini semua kuasa Allah. Tiada siapa yang boleh menghalangnya," kata Ismail ketika ditanya bagaimana dia boleh meloloskan diri daripada turut diculik penculik itu.

Petrus Karel Eduar Kaya,42, pula berkata ketika penculik itu naik ke atas kapal, dia sedang menjaga enjin kapal berkenaan kerana ia sudah menjadi tanggungjawabnya.

"Salah seorang penculik itu menanyakan mana kapten, saya tunjuk ke arah atas dan saya diarah naik untuk berkumpul dengan teman-teman lain," katanya.

Selain daripada tiga kru warga Indonesia itu tiga lagi kru lelaki di atas kapal Massive 6 yang terselamat dalam insiden penculikan itu ialah rakyat Myanmar.

anak kapal, Massive 6, kes culik

Artikel Lain