suria

Pembangkang Berarak Ke Bukit Aman Pagi Esok Bantah Penahanan Rafizi

Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR: Pembangkang akan berarak dari bangunan Parlimen ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pagi Khamis untuk membantah penangkapan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar di Parlimen, Anthony Loke (DAP) berkata Pakatan Harapan akan menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata penahanan Rafizi, yang juga Setiausaha Agung PKR, di hadapan pintu masuk Parlimen melanggar kedaulatan dewan yang mulia.

"Esok (Khamis) pada pukul 9 pagi, diketuai oleh Ketua Pembangkang dan ahli-ahli Pakatan Harapan, kita akan berkumpul di pintu pagar Parlimen dan berarak ke Bukit Aman untuk menyerahkan memorandum kepada KPN bagi membantah penahanan Rafizi dan meminta supaya beliau dilepaskan dengan serta-merta," katanya.

Beliau juga menjemput ahli Parlimen lain untuk menyertai perarakan itu.

Rafizi ditahan di hadapan Parlimen kira-kira pukul 6.20 hari Selasa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beliau terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
OSA, Rafizi Ramli, KPN, Anthony Loke

Artikel Lain