suria

Dr Daroyah Gagal Tangani Wabak Denggi - BN Selangor

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional Selangor mahu kerajaan negeri itu menggantikan  Exco Kesihatannya, Dr Daroyah Alwi kerana gagal menangani wabak  denggi.

"Beliau sama ada tidak mampu menangani wabak denggi di negeri ini secara agresif atau lebih memberi keutamaan kepada isu-isu lain seperti politik," kata Adun Sungai Burung, Datuk  Shamsudin Lias pada sidang media di sini, Isnin.

Beliau berkata selain tidak serius mengenai situasi wabak denggi, Dr Daroyah turut menghantar wakil untuk menghadiri mesyuarat mengenai isu tersebut berbanding menghadirinya sendiri.

"Isyarat kecemasan sepatutnya diisytiharkan di negeri ini kerana wabak denggi menjadi sangat serius dengan berlaku beberapa kematian," kata Shamsudin.

Beliau turut mendakwa bahawa kerajaan negeri sentiasa menyalahkan kerajaan Persekutuan walaupun wabak penyakit itu berlaku di negeri sendiri.

Shamsudin berkata kerajaan negeri lebih berniat memberi tumpuan kepada isu-isu seperti Deklarasi Rakyat atau bantahan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Katanya, papan iklan "Bebas Anwar" juga boleh digunakan untuk menyebarkan maklumat mengenai nyamuk aedes dan pembasmian denggi.

"Kerajaan negeri ini lebih berminat terhadap politik daripada memerangi wabak ini," kata Shamsudin.

Beliau menggesa Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk meletakkan pembasmian wabak denggi sebagai keutamaan dan menubuhkan sebuah pasukan khas serta pelan tindakan yang sewajarnya.

Artikel Lain