suria

Polis Perak Sita Harta Pengedar Dadah Hampir RM1 Juta Sejak Januari

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak ACP R Ravi Chandran (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rampasan empat bungkusan dadah jenis heroin seberat 1,821.70 gram bernilai RM91,085 kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak (IPK) Isnin. Polis menahan dua suspek termasuk seorang pelajar perempuan selepas dipercayai cuba mengedar dadah itu di Banding dekat Gerik Jumaat lepas.

IPOH: Polis Perak merampas pelbagai jenis harta bernilai RM905,145 milik pengedar dadah yang ditangkap di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak Asisten Komisioner R. Ravi Chandran berkata harta seperti rumah, tanah, kenderaan dan akaun bank mereka dirampas mengikut Akta Perlucutan Harta 1988.

Katanya, sepanjang tempoh itu, seramai 3,954 pesalah dadah ditangkap yang merupakan peningkatan sebanyak 154 peratus berbanding 1,553 orang bagi tempoh sama tahun lepas.

Daripada jumlah itu, seramai 117 ditangkap mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori manakala 22 lagi ditangkap mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985.

"Kebanyakan daripada mereka merupakan dalang atau perancang dan pembiaya dalam sindiket yang ditumpaskan pada 2015," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, Isnin.

Selain itu, seramai 1,136 orang ditangkap kerana kesalahan memiliki dadah yang merupakan peningkatan sebanyak 20 peratus dalam tempoh Januari hingga Mac lepas berbanding 947 dalam tempoh sama pada 2015. 

"Kemua tangkapan kes pengedaran dan memiliki dadah itu menghasilkan rampasan pelbagai jenis dadah termasuk heroin, syabu dan ganja bernilai pasaran kira-kira RM950,000," katanya. 

Ravi Chandran berkata sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, seramai 1,422 penagih dadah ditangkap dan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Akta Dadah Berbahaya 1952. -- Bernama


Artikel Lain