suria

Pengawal Keselamatan Bebas Tuduhan Edar 1.78 Kg Dadah

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan terlepas hukuman mati apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, Isnin daripada pertuduhan mengedar dadah seberat 1.78 kilogram tahun lepas.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Rizal Mohd Redzwan, 43.

Katanya pendakwaan juga gagal membuktikan bahawa Ahmad Rizal yang membawa kereta sorong bayi di mana dadah itu dijumpai dan oleh itu tertuduh dilepaskan daripada pertuduhan itu tanpa perlu dipanggil membela diri.

Ahmad Rizal yang diwakili peguam Kee Wei Lon, dituduh mengedar dadah kanabis seberat 1,782.13 gram di kedai Sungaione, di Jalan Sungai Baru, Kampung Baru, Dang Wangi, pada 15 Februari 2015, 7 petang.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang  memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad. Sejumlah lima saksi pendakwaan dipanggil dalam perbicaraan kes itu.-- Bernama


Artikel Lain