suria

Pengurusan Kes Saman Fitnah Anwar Terhadap Utusan Ditangguhkan

PUTRAJAYA: Prosiding pengurusan kes yang ditetapkan pada Jumaat bagi saman fitnah oleh bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Utusan Melayu (M) Bhd ditangguhkan.

Michelle Yesudas, seorang daripada bekas peguam Anwar, memberitahu pemberita bahawa beliau dimaklumkan oleh penolong kanan pendaftar Mahkamah Persekutuan Muhammad Noor Firdaus Rosli bahawa kes itu dikeluarkan daripada senarai bagi prosiding hari ini.

Beliau turut dimaklumkan bahawa bekas Anggota Parlimen Permatang Pauh itu telahpun dimaklumkan tentang penangguhan itu, oleh itu Anwar tidak dibawa ke mahkamah pada Jumaat.

Anwar, 69, menyaman Utusan Melayu dan Ketua Pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak dengan mendakwa defendan menerbitkan dua artikel berbaur fitnah terhadap beliau dalam muka hadapan dan halaman 10 akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 Jan 2012, berkaitan wawancara BBC dengan beliau.

Beliau memenangi saman terhadap Utusan dan Abdul Aziz yang kemudiannya diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi supaya membayar ganti rugi am RM100,000 dan ganti rugi teruk RM100,000 kepadanya.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb tahun lepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara terhadapnya kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. 

Anwar Ibrahim, Utusan Malaysia

Artikel Lain