suria

Tun M, Pembangkang Tandatangan 'Deklarasi Rakyat' Tolak Najib

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin Umno dan barisan ahli politik pembangkang menandatangani 'Deklarasi Rakyat' untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri.

Deklarasi yang mengandungi empat tuntutan itu menggesa agar penyingkiran Najib dibuat menerusi saluran yang aman mengikut undang-undang yang dibenarkan serta penyingkiran semua mereka yang bersekongkol dengannya.

Selain itu ia juha mahu memansuhkan semua undang-undang dan perjanjian baharu yang jelas melanggar hak asasi yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Deklarasi itu juga besetuju supaya pemulihan integriti institusi yang telah dilemahkan seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dilakukan.

"Mereka (tokoh politik) telah menunjukkan komitmen  dan bersatu dalam satu deklarasi untuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri," kata bekas perdana menteri itu dalam sidang media di rumah kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya di sini, petang Jumaat.

Antara tokoh politik lain yang turut hadir ialah Timbalan Presiden Umno yang digantung jawatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik.

Hadir sama ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Presiden Amanah, Mohamed Sabu; Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali; bekas menteri Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Kami sebagai rakyat Malaysia telah menyuarakan pandangan dan ingin menjemput semua rakyat negara ini untuk menyokong gerakan ini.

"Selepas ini kita berharap dapat berkongsi idea dengan rakyat mengenai keinginan mereka. Kami juga berharap selepas sidang media ini lebih ramai rakyat akan menandatangani deklarasi ini," jelas beliau.

Dr Mahathir adalah pemimpin pertama yang menandatangani deklarasi tersebut bersama 55 tokoh politik lain.

Umno, DAP, PKR

Artikel Lain