suria

Henti Jual-Beli Hidupan Liar Secara Haram Dalam Talian

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa orang ramai supaya menghentikan perdagangan hidupan liar secara haram melalui dalam talian kerana ia semakin diancam oleh trend baharu itu.

Beliau berkata dengan menjadikan ruang siber sebagai pasaran, sesiapa pun boleh terjebak dalam penipuan yang diwujudkan individu dan kumpulan tidak bertanggungjawab yang mahukan wang segera dengan menjual haiwan yang jarang dijumpai dan eksotik yang tidak boleh diperoleh di kedai-kedai haiwan peliharaan.

"Saya ingin membuat rayuan kepada rakyat Malaysia supaya berhenti membeli dan menjual hidupan liar secara haram.

"Janganlah jadi penyumbang kepada kepupusan hidupan liar di negara ini, sebaliknya jadilah mereka yang melindungi haiwan ini dalam habitatnya sendiri," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena dengan Hari Hidupan Liar Sedunia yang disambut semalam. Tema sambutan tahun ini ialah 'Masa Depan Hidupan Liar Di Tangan Kita'.

Wan Junaidi berkata pihak berkuasa telah meningkatkan pengawasan jenayah siber dan berjaya menangkap beberapa individu yang terlibat dalam perdagangan hidupan liar secara haram dalam media sosial.

"Dan ia sangat menyedihkan apabila mengetahui bahawa kebanyakan mereka adalah belia di usia muda," katanya.

Beliau berkata kementerian juga berharap untuk mendapatkan lebih banyak pengalaman dengan membina dan mengekalkan jambatan khas hidupan liar (viaduct) sebagai lintasan selamat untuk hidupan itu khususnya semasa kejadian yang tidak pernah berlaku iaitu kematian harimau disebabkan pemburuan haram dan kemalangan jalan raya, juga peningkatan kadar kematian di jalan raya yang turut melibatkan spesis hidupan liar lain.

"Struktur sebegitu dapat mengekalkan hubungan antara habitat dan memastikan adanya koridor semula jadi untuk mamalia besar bergerak mencari makanan dan tempat tinggal.

"Kehilangan habitat dan degradasi merupakan punca utama populasi hidupan liar berkurangan," kata Wan Junaidi.

Tambahan pula katanya, Malaysia telah memperbaharui komitmennya kepada Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu terdapat matlamat untuk menamatkan pemburuan haram dan penyeludupan hidupan liar  secara haram tahun lepas.

"Kerajaan telah memperkenalkan beberapa dasar dan rancangan berkaitan perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar dan habitatnya termasuk Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTAP), Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (NECAP), Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine serta Dasar Kepelbagaian Biodiversiti Negara yang dilancarkan baru-baru ini," katanya.

Hidupan Liar

Artikel Lain