suria

Tujuh Pelajar Ditahan Curi Komputer Makmal Sekolah

KEPALA BATAS: Tujuh pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di sini ditahan selepas disyaki mencuri tujuh komputer riba milik sekolah itu Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Azmi Adam berkata kesemua pelajar itu ditahan di rumah mereka di sekitar kawasan tersebut, pada Khamis.

Beliau berkata dalam kejadian itu, tujuh pelajar lelaki terbabit diminta oleh guru mereka membersihkan makmal komputer sebelum mendapati tujuh komputer bernilai kira-kira RM4,000 itu hilang daripada makmal berkenaan.

"Guru berkenaan membuat laporan polis berhubung kehilangan itu...kami menemui semula komputer riba itu masing-masing satu di setiap rumah pelajar terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Sementara itu, dalam kes lain, Azmi berkata polis menemui semula sebuah kontena yang dilaporkan hilang pada 24 Februari lepas.

Beliau berkata kontena itu ditemui ditinggalkan di kawasan perindustrian Seberang Perai Tengah Rabu lepas.

Kontena yang berisi kertas seberat 25.8 kilogram dengan nilai RM131,558 itu dilapor hilang di kawasan Mak Mandin, di sini.

Artikel Lain