suria

Pekerja Asing Bukan Pelaku Utama Jenayah - Timbalan KPN

Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kemasukan pekerja Bangladesh mungkin boleh meningkatkan kadar jenayah, tetapi pelaku utama jenayah masih lagi penduduk tempatan, kata Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Timbalan Ketua Polis Negara berkata, rakyat Malaysia masih menjadi pesalah utama dalam jenayah.

"Penyumbang untuk jenayah terdiri daripada rakyat tempatan. Walau bagaimanapun, terdapat juga pekerja asing yang terlibat dalam jenayah seperti rompakan, pecah rumah, pelacuran dan sebagainya," katanya selepas majlis penganugerahan surat penghargaan kepada pengguna jalan raya berhemah dan kontinjen/daerah terbaik Op Selamat 8/2016 sempena Tahun Baru Cina di sini, Jumaat.

Ditanya sama ada kemasukan pekerja asing akan meningkatkan indeks jenayah itu, Noor Rashid berkata 'ya'.

"Bagaimanapun, penduduk tempatan masih penyumbang terbesar jenayah," katanya.

Pada Khamis, Malaysia dan Bangladesh menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menerima 1.5 juta pekerja secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Apabila ditanya sama ada polis akan menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menguruskan kebimbangan sosial berkaitan kemasukan itu, Noor Rashid berkata, majikan juga mempunyai tanggungjawab untuk memantau tenaga kerja asing mereka.

"Majikan yang menggaji warga asing ini perlu pantau gerak geri pekerja asing bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. Polis akan bersama  dengan pihak berkaitan dalam menjaga keamanan negara," katanya.

Mengenai Op Selamat 8 sempena sambutan Tahun Baru Cina yang berakhir Isnin lepas, sebanyak 19,572 kes kemalangan dicatatkan.

Beliau berkata walaupun kes kemalangan meningkat sebanyak 478 kes berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kadar kematian menurun sebanyak 28 orang iaitu 279 berbanding 307 mangsa tahun lepas.

"Kadar kemalangan yang direkodkan pada tahun lepas (Op Selamat Tahun Baru Cina 2015) adalah19,094 kes, tahun ini ia meningkat kepada 19,572 kes.
Pengguna jalan raya masih lagi menggunakan lorong kecemasan, memandu laju dan gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas," katanya.

Menyentuh mengenai penubuhan 'Strike Force' dalam Op Selamat 8 di zon selatan iaitu kontinjen Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, Noor Rashid berkata ia menunjukkan kesan positif.

"Team-team kecil ini yang berpangkalan di Muar, Johortelah bergerak secara berkala ke lokasi yang dikenal pasti sebagai 'kawasan panas' kemalangan atau lokasi kesesakan trafik yang tinggi.

"Melihat kepada hasilnya, kita akan mengkaji keperluan dan kesesuaian pendekatan ini untuk dilaksanakan di zon-zon lain iaitu zon utara, pantai timur dan zon tengah bagi operasi akan datang, insya-Allah," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain