suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Masalah kesihatan tak ganggu persembahan Awie... 20,000 peminat meriahkan konsert di Stadium Merdeka

Awie menyampaikan lebih 30 lagu semasa konsertnya.

MASALAH kesihatan tidak menghalang penyanyi Datuk Awie memberikan persembahan terbaik menerusi Konsert Awie Rock King - Last Man Standing 2026 yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Konsert yang bermula tepat pukul 9 malam itu menghimpunkan kira-kira 20,000 peminat daripada pelbagai lapisan usia yang hadir bagi menyaksikan persembahan istimewa penyanyi rock kesayangan ramai itu.

Membuka tirai persembahan menerusi lagu Sayap Ilusi versi akustik, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman kemudian menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu popularnya seperti Rock N Roll Ronda Randa, Mata Hati Jiwa, Tiada Rahsia Antara Kita, Di Bayang Awan dan O-Tak.

Pada usia 58 tahun, Awie membuktikan dirinya masih mampu memberikan persembahan bertenaga apabila membawakan sebanyak 35 lagu tanpa henti, dengan sokongan lima kumpulan muzik dan 20 pemuzik.

Lebih 20,000 penonton hadir bagi menyaksikan konsert Awie. 

Menurut Awie, keadaan negara yang dilanda jerebu turut sedikit sebanyak menjejaskan kesihatan serta keadaan paru-parunya.

"Saya sebenarnya dalam keadaan tidak sihat disebabkan jerebu sangat teruk sehingga menjejaskan paru-paru saya, tetapi persembahan tetap harus diteruskan," katanya pada malam itu.

Acara bertambah meriah apabila dua anaknya, Puteri dan Merrah, muncul di pentas untuk berduet menerusi lagu Baldu Biru dan Bernafas Dalam Lumpur.

Selain menyampaikan lagu-lagu malar segar, Awie turut menampilkan beberapa artis jemputan untuk berduet bersamanya termasuk Stacy, Akim Ahmad dan Black.

Masing-masing bergandingan menerusi lagu Peronda Jaket Biru, Midnight Blues, Ingatkan Dia dan Intanku Kesepian, selain turut mempersembahkan Tragedi Oktober serta Ukiran Jiwa.

ARTIKEL BERKAITAN: Berat pernah hampir cecah 100 kg, Awie ‘hentak’ siang malam di gim... “Kalau tak dijaga, kulit boleh berkedut”

ARTIKEL BERKAITAN: Muka nampak garang tapi sebenarnya Awie berjiwa sensitif... Mudah tersentuh hati dan menangis

Suasana semakin gamat dengan kemunculan penyanyi Erra Fazira yang mendendangkan lagu Cinta Makrifat, manakala Hannah Delisha menyampaikan Kita Permata.

Awie, Erra dan Hannah kemudiannya bergandingan menerusi lagu Halaman Asmara.

Dalam kesempatan sama, Awie turut membawakan lagu baharunya berjudul Maharani yang didedikasikan khas buat isteri tercinta sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka.

Persembahan diteruskan dengan lagu Ratuku dan Dipenjara Janji yang sememangnya dinanti-nantikan peminat.

Lebih istimewa, Awie turut menyampaikan Jeritan Batinku sebagai tribute kepada Allahyarham P. Ramlee, Gerhana bersama Datuk Hattan sebagai penghormatan buat Datuk M. Nasir, Kepadamu Kekasih sebagai tribute kepada anak seni yang telah tiada serta Layang-layang Terputus Talinya sebagai penghormatan kepada kumpulan Alleycats.

Kedua-dua anak Awie iaitu Puteri dan Merrah turut menjadi penyanyi jemputan. 

Awie turut membawakan Ku Di Halaman Rindu sebagai tribute kepada Lefthanded selain menjemput penyanyi Amir Masdi untuk bergandingan menerusi lagu Gemuruh sebagai tribute kepada kumpulan Search, diikuti Mentari Merah Di Ufuk Timur.

Pada kemuncak acara, Awie kembali bergandingan bersama kumpulan Wings menerusi lagu Opera Hidup, Hukum Karma, Harapan Sejati dan Terima Kasih.

Konsert yang berlangsung hampir empat jam itu turut diserikan dengan kehadiran rakan-rakan artis termasuk Datuk Adi Putra, Nabila Huda, Datuk Seri Vida bersama pasangannya, Datuk Fazley, Ummi Nazeera, serta Beto Kusyairy sebagai tanda sokongan kepada 41 tahun perjalanan Awie sebagai penghibur.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain