SEORANG atlet wanita mencetuskan kontroversi selepas dipercayai mengalami masalah membuang air besar tanpa kawalan ketika menyertai acara kecergasan Hyrox Beijing.Lebih mengejutkan, atlet berkenaan tetap meneruskan perlumbaan sehingga ke garisan penamat meskipun berdepan situasi memalukan itu. Foto dan video yang tular di media sosial China pada Ahad menunjukkan peserta terbabit meneruskan beberapa cabaran termasuk burpee lompat jauh dengan kesan najis dilaporkan kelihatan pada kakinya.Malah, kesan sama dipercayai turut terkena pada beberapa bahagian laluan pertandingan.Menurut laporan media Hong Kong, HK01, wanita tersebut dikenal pasti sebagai atlet elit Australia, Joanna Wietrzyk yang bertanding dalam kategori Pro Women.Bukan sekadar berjaya menamatkan perlumbaan, Joanna dilaporkan muncul sebagai pemenang dalam kategorinya pada hari berkenaan.Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang reaksi bercampur-campur dalam kalangan warga maya.Sebahagian memuji semangat juangnya kerana tetap bertahan sehingga tamat dalam pertandingan yang menguji ketahanan fizikal.Namun, ramai turut mempertikaikan tindakannya kerana peserta lain perlu menggunakan laluan dan peralatan sama selepas itu.Mereka turut membangkitkan kebimbangan mengenai kesan najis yang dilaporkan terdapat pada laluan larian, alas kereta luncur dan beberapa permukaan lain.Ada yang berpandangan seseorang atlet sepatutnya menarik diri sekiranya mengalami masalah kesihatan sehingga boleh menjejaskan kebersihan dan peserta lain.Dalam masa sama, penganjur Hyrox turut menjadi sasaran kritikan apabila warga maya mempersoalkan bagaimana atlet tersebut masih dibenarkan meneruskan perlumbaan.Mereka turut membandingkan situasi itu dengan peraturan pertandingan yang mengenakan penalti terhadap beberapa perbuatan termasuk meludah.Susulan kejadian, Hyrox China menerusi kenyataan di Weibo memaklumkan kawasan dan laluan terjejas segera ditutup serta diasingkan.Penganjur berkata, proses pembersihan dan pembasmian kuman dilakukan sehingga perlumbaan pada hari tersebut selesai.Peralatan yang terjejas turut dikeluarkan manakala sisa dilupuskan mengikut peraturan pengurusan sisa tempatan.Selain itu, permaidani di lokasi berkenaan akan diganti sebelum proses pembersihan serta pembasmian kuman secara menyeluruh dilakukan di seluruh venue.Menurut penganjur, langkah berkenaan diambil bagi memperkukuhkan tahap kebersihan dan memastikan semua peserta dapat bertanding dalam persekitaran selamat. -Agensi