NEGARA dikejutkan dengan pemergian legenda hoki terkemuka, Sarjit Singh pada usia 63 tahun, akibat masalah kesihatan. Mendiang yang merupakan bekas pemain dan ketua jurulatih skuad kebangsaan menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10 malam Ahad di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).Beliau dianggap antara jentera terbaik negara kerana turut menyumbang kepada pembangunan hoki Malaysia sebagai pemain mahupun jurulatih.Mengimbau kegemilangannya ketika bergelar pemain, mendiang pernah membawa cabaran Malaysia pada Sukan Olimpik Los Angeles 1984 dan Barcelona 1992, selain membantu skuad negara meraih pingat gangsa Sukan Asia di New Delhi 1982 serta Beijing 1990.Menerusi bidang kejurulatihan pula, Sarjit pernah mengendalikan skuad kebangsaan dari 2007 hingga 2008 sebelum kembali diberikan kepercayaan menerajui pasukan negara pada Mac 2024 hingga Mac lalu dengan pencapaian terakhirnya membantu Speedy Tigers menduduki tempat keempat Kejohanan Kelayakan Piala Dunia di Ismailia, Mesir.Susulan kecemerlangan dan khidmat bakti yang disumbangkan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi kenyataan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan insan tersayang mendiang selain mengenang segala jasa serta sumbangannya terhadap sukan berkenaan."Presiden, Timbalan-Timbalan Presiden, Ahli Lembaga Eksekutif serta seluruh warga Konfederasi Hoki Malaysia merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas Ketua Jurulatih Kebangsaan, atlet Olimpik, legenda serta kapten hoki Malaysia, Sarjit Singh."Dedikasi, khidmat dan sumbangan beliau kepada arena hoki negara, baik sebagai pemain mahupun ketua jurulatih, akan sentiasa dikenang."Ucapan takziah yang tulus ditujukan kepada seluruh ahli keluarga dan insan tersayang. Semoga mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan ketenangan dalam menghadapi detik sukar ini," ujarnya dalam kenyataan pada Isnin.