suria

WSJ Sekali Lagi Buat Tuduhan Tak berasas - Salleh

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
KUALA LUMPUR: Editor Wall Street Journal (WSJ) yang menafikan keputusan Peguam Negara sekali lagi membuat dakwaan tidak berasas terhadap persoalan yang telah dijawab, kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

"Sudah jelas terbukti bahawa tiada kesalahan yang berlaku. Ia juga menunjukkan bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) bersih daripada segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya," kata Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Beliau juga mempersoalkan niat Editor Kewangan WSJ Ken Brown yang membuat kenyataan seperti itu.

"Pada masa ini, orang asing membuat tuduhan itu berdasarkan dokumen yang telah dicemari yang datang daripada sumber-sumber yang boleh dipersoalkan.

"Apakah motifnya? Mengapa mereka cuba campur tangan dalam pentadbiran negara? Sudah tentu mereka mempunyai agenda mereka sendiri," katanya ketika berucap melancarkan buku 'If A Cat Had Nine Lives - The Legacy of Najib Razak' sempena memperingati 40 tahun Perdana Menteri berkecimpung dalam politik di sini, Jumaat.

Dr Salleh mengulas mengenai temu bual terbaharu yang diberikan oleh Brown kepada ABC News Australia pada 12 Februari.

Brown telah menafikan keputusan Jabatan Peguam Negara bahawa wang yang didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib adalah sumbangan daripada kerabat diraja Saudi.

Dia memberitahu Beverley O'Connor di ABC News bahawa laporan berita WSJ tidak perlu dipersoalkan lagi dan WSJ mempunyai 'banyak bukti yang dapat menyokongnya'.

Dalam pada Salleh seperti yang dilaporkan Bernama berkata rakyat negara ini bebas untuk berbeza pandangan tetapi tidak bebas untuk mengutuk dan menghina pemimpin serta institusi pentadbiran negara.


Beliau berkata rakyat seharusnya tidak mengamalkan budaya bertentangan dengan amalan demokrasi negara terutama perbuatan mencengkam sistem pentadbiran Perdana Menteri menerusi media sosial.

"Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi, bebas memberi ruang untuk rakyatnya berbeza pendapat tetapi kita tidak boleh bebas menghina dan mengutuk pemimpin serta institusi Perdana Menteri (pentadbiran negara).

"Demokrasi meraikan perbezaan pandangan tetapi tindakan menghina dan memfitnah bukan budaya dan amalan masyarakat di negara ini," katanya. 


Salleh berkata terdapat banyak persepsi berbanding realiti dalam persekitaran khususnya menerusi media sosial yang berleluasa memerlukan tindakan drastik diambil bagi mengurangkan atau menghentikan impak negatif ke atas masyarakat.


"Dalam konteks itu, kita bercakap tentang keperluan untuk mengubah daripada keadaan yang lebih politiking, menjawab tuduhan dan dakwaan tidak berasas yang dilemparkan tanpa henti terhadap pentadbiran perdana menteri," katanya.

Salleh berkata perkara itu tidak boleh biarkan berterusan.

"Kita mempunyai hak memberi pandangan dan pendapat tetapi kita harus ingat hak untuk menghancurkan negara adalah salah.

"Kita ada 'freedom of speech' tetapi kita tidak ada 'freedom to destroy' kerana kita membentuk negara kita sebagai sebuah negara merdeka dan rakyatnya menikmati hidup yang aman," katanya.

Artikel Lain