suria

Azmi Sharom Dilepas Dan Dibebaskan Daripada Tuduhan Menghasut

Prof Madya Dr Azmi Sharom
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat melepaskan dan membebaskan pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Azmi Sharom daripada pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut berhubung krisis politik di Perak, dua tahun lepas.

Hakim Amernudin Ahmad membuat keputusan itu terhadap Azmi, 46, selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah dan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Azmi.

Hari ini ditetapkan bagi pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan di akhir kes pendakwaan.

"Selepas meneliti permohonan pendakwaan dan hujahan peguam bela, mahkamah memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan di bawah Akta Hasutan," kata Hakim Amernudin.

Terdahulu, Ezrene memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak lagi berniat meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh.

"Saya menerima arahan setakat ini pihak pendakwaan tidak lagi berniat meneruskan pendakwaan, mohon kes dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap tertuduh," katanya.

Gobind bagaimanapun berkata anak guamnya itu sepatutnya dilepas dan  dibebaskan dengan mengambil kira kes berkenaan berlanjutan sejak 2014, dan peguam negara sendiri telah mengeluarkan kenyataan untuk memberhentikan pendakwaan terhadap Azmi pada 12 Februari lepas.

Katanya kenyataan peguam negara itu juga jelas menunjukkan bahawa tidak ada sebab atau keperluan untuk kes itu diteruskan.

"Kes ini bukan satu kes yang baharu kerana ia bermula sejak 2014 dan telah dirujuk ke Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan," katanya, sambil memberitahu ia telah dibicarakan dan semua saksi pendakwaan telah memberi keterangan.

Pada 14 Januari lepas, pihak pendakwaan telah menutup kes selepas mengemukakan empat saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Azmi.

Azmi didakwa atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut berhubung komennya dalam berita bertajuk 'Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told'.

Dia didakwa menyatakan perkataan menghasut itu di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah pada 12.30 tengah hari, 15 Ogos 2014.

Azmi, yang juga Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UM, juga telah didakwa terhadap pertuduhan pilihan iaitu menerbitkan perkataan menghasut berhubung krisis sama, pada masa dan tempat yang sama.

Pada 6 Oktober tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan Akta Hasutan ialah undang-undang yang sah selepas menolak permohonan Azmi yang mencabar perlembagaan Akta Hasutan.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 12 Feb lalu mengeluarkan kenyataan untuk memberhentikan pendakwaan terhadap Azmi selepas menggugurkan pertuduhan hasutan terhadapnya.

Keputusan itu dibuat selepas mengkaji keterangan semua saksi pendakwaan yang telah memberi keterangan di mahkamah dan tindakan untuk memberhentikan pendakwaan mengikut Akta Hasutan pernah dilakukan terhadap kes Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim sebelum ini.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Azmi memberitahu pemberita bahawa beliau merasa lega dan berterima kasih dengan keputusan itu.

Artikel Lain