suria

Pintu Terbuka Untuk Pesara Guru B.Inggeris Kembali Mengajar - Kamalanathan

P. Kamalanathan
KUALA LUMPUR: Peluang masih terbuka kepada guru bahasa Inggeris yang sudah bersara untuk kembali mengajar bagi mengatasi kekurangan guru dalam mata pelajaran itu, kata Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan.

"Kita telah beri ruang, masalahnya apabila seorang guru yang telah bersara dan memilih satu tempat kediaman, guru itu tidak mahu bertugas luar daripada kawasan itu.

"Kita telah bertanyakan, sudikan guru-guru itu untuk mengajar di lokasi yang lain, tetapi guru itu hanya mahu mengajar dekat dengan lokasi kediamnya," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Boon Som Inong pada persidangan Dewan Negara Khamis.

Kamalantahan berkata kementeriannya telah mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak terbabit iaitu bukan sahaja guru bersara tersebut, malah suri rumah atau individu yang berkemahiran dalam Bahasa Inggeris untuk mengajar subjek itu sebelum menyediakan satu garis panduan.

Sekiranya seseorang itu memenuhi garis panduan itu kementerian mungkin boleh menawarkan mereka kerjasama secara sukarela membantu menambah baik mata pelajaran dan penggunaan bahasa Inggeris, katanya.

Kamalanathan berkata kerajaan komited dan sentiasa mencari jalan dalam meningkatkan jumlah guru Bahasa Inggeris melalui pelbagai program yang telah dirangka, antaranya Program English Language Teachers From India (ELTI).

Beliau berkata bagi meningkatkan kemahiran guru subjek Bahasa Inggeris, kementerian telah melaksanakan program meningkatkan kemahiran iaitu Profesional Upskilling of English Language Teachers (Pro-ELT).

"Sehingga kini seramai 10,502 guru telah mengikuti program ini. Selain itu, kementerian juga menjalankan kursus Intensive Course in English language Teaching (ICELT) di bawah program intervensi tambah opsyen (PITO)," katanya.

Menjawab soalan Senator Datuk Dr Johari Mat mengenai sejauh mana kepentingan keperluan bahasa itu, Kamalantahan berkata bahasa Inggeris merupakan bahasa global dan bahasa internet yang sekiranya dikuasai dengan baik akan membuatkan negara ini 'diminati' dunia.

Artikel Lain