BARANGAN kemas seperti gelang, cincin dan rantai emas cukup sinonim dengan golongan wanita.Tidak hanya dijadikan barangan perhiasan, kini ramai membeli emas sebagai simpanan dan pelaburan menguntungkan ekoran nilainya yang meningkat saban tahun. Pun begitu, ramai terlepas pandang bahawa anggaran harga jualan emas boleh mengalami penurunan dari segi beratnya selepas melalui proses lebur.Situasi itu boleh digambarkan menerusi perkongsian Suehada Al Ali di laman Threads apabila gelang emas yang mahu dijual mengalami penurunan berat lebih satu gram.Ia dipercayai akibat dariada kotoran daki dan debu yang melekat pada barangan kemas yang menambah beratnya."Saya baru-baru ini buat buyback barang kemas dekat salah satu kedai emas di Sungai Petani yang tengah viral."Mula-mula barang kemas saya ditimbang 11.91 gram lepas dibakar dan dicuci berkali-kali, beratnya turun sampai 10.74 gram maksudnya hilang lebih kurang 1.17 gram."Katanya sebab ada daki pada barang kemas itu tapi saya pelik sebab barang kemas tersebut jarang sangat dipakai," katanya.Mengulas lanjut perkara itu, seorang penjual emas Puan Adah Ramly di ruangan komen menjelaskan sesetengah barangan kemas memiliki reka bentuk tertentu yang mudah kotor sehingga boleh menjejaskan berat."Tidak pelik kalau barang 'kosong' (hollow) macam lipan, pasir, gajah. Kalau jenis 'padu' jarang susut banyak, biasanya hollow memang akan beza banyak," katanya.Dalam pada itu, menurut Ar-Rahnu Express perbezaan emas jenis hollow dan padu boleh dikesan dari segi ketumpatan dan reka bentuk barangan kemas.Reka bentuk barang kemas hollow kebiasaannya berbentuk lebih besar berbeza dengan jenis padu yang selalunya datang dalam bentuk lebih halus dan lebar, tetapi padat dengan ketumpatan emas.