suria

Lelaki Warga Yaman Didakwa Miliki Pisau 'Spring'

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Yaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Khamis atas tuduhan memiliki sebilah pisau 'spring', minggu lepas.

Al Attas Mohammed Abobakr Hussein, 29, yang datang ke Malaysia menggunakan visa pelancong, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh Banth Singh.

Dia didakwa memiliki pisau itu di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Bukit Bintang pada 5.10 petang 5 Disember lepas mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana dia seorang warga asing dan kesalahan itu merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon diberikan jaminan atas alasan dia hanya datang dengan niat melancong.
Mahkamah menetapkan 4 Januari 2016 untuk sebutan semula kes.
pisau spring, visa pelancong

Artikel Lain