suria

LZS Dakwa Tak Terima Permohonan Alwi

PETALING JAYA: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mendakwa tidak menerima  borang permohonan mualaf, Alwi Chan Abdullah bagi mendapatkan bantuan merawat penyakit jantung yang dihidapi anak bongsunya kira-kira dua bulan lalu.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat LZS, Norajun Ainun Mohd Hashim berkata berdasarkan hasil semakan pihaknya, didapati tidak ada sebarang permohonan diterima daripada Alwi.

"Hasil semakan, kami dapati tidak ada rekod pemohon bantuan zakat atas nama Alwi Chan Abdullah di LZS," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun beliau berkata, siasatan LZS mendapati Alwi merupakan asnaf yang berdaftar di Baitulmal MAIWP.

Malah katanya, Alwi telah disantuni melalui bantuan zakat oleh institusi berkenaan sejak Jun 2015.

"Berhubung dengan aduan yang tersiar di mStar, difahamkan bahawa keluarga Alwi  baru sahaja menetap di Selayang, Selangor," katanya.

Sehubungan itu, Norajun berkata pihak LZS bersedia untuk menyantuni keluarga ini bergantung kepada keperluan dan syarat kelayakan yang ditetapkan, sekiranya beliau memohon bantuan zakat di LZS.

Namun begitu, beliau difahamkan senarai penerima akan dikeluarkan dari Baitulmal MAIWP, jika penerima tidak lagi menetap di Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini, Alwi mendakwa terpaksa ke Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan LZS semata-mata untuk menghantar borang permohonan bantuan zakat apabila kedua-dua agensi itu bagaikan 'tolak-menolak' untuk memikul tanggungjawab memproses bantuan untuk keluarga mualaf itu.

Susulan itu, Alwi terpaksa mengenetepikan perasaan malu dan meminta bantuan rakan-rakan di Facebooknya bagi menampung kos pembedahan dan perubatan anak bongsunya, Danial Oktavian Chan yang kini baru berusia lebih sebulan sebanyak RM3,600.

Beliau yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah warung di Gombak, Selangor mendakwa anaknya itu perlu menjalani pembedahan kecil pada jantung.

Menurut Alwi, sejak dilahirkan pada 16 September lalu, anak bongsunya itu sering keluar masuk Hospital Ampang kerana keadaan jantungnya yang lemah.

Malah dengan gaji kira-kira RM1,800 sebulan, beliau tidak mampu membayar kos rawatan kerana perlu menyara isteri dan tiga anaknya yang lain yang masing-masing berusia sembilan, empat dan tiga tahun.

Alwi Chan Abdullah, mualaf, LZS, PPZ-MAIWP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain