suria

Penduduk Terkejut Kereta Disimbah Asid

GEORGE TOWN: Tiga penduduk sebuah kondominium di Green Lane terkejut apabila melihat keadaan enam kereta mereka yang disimbah dengan asid pada pagi Isnin.

Enam kereta yang terlibat ialah Mercedes Benz B180, Honda CRV, Perodua Kelisa, Honda Civic dan dua Perodua Kenari milik tiga penduduk yang diletakkan di tingkat satu dan tiga lot parkir kondominium berkenaan.

Bonet, bumbung dan pintu antara bahagian kereta yang terkena simbahan asid.

Pemilik kereta menyedari kejadian itu pada pukul 7 pagi Isnin.

Wee Nee Wang Pek Ching, 72, pemilik kereta yang terlibat berkata dia melihat kesan simbahan asid di bahagian lampu hadapan, bonet, cermin hadapan dan pintu Mercedes Benz miliknya.

"Ini sangat mengejutkan. Saya tidak ada sebarang masalah dengan sesiapa. Dua tayar bahagian kanan kereta saya juga dipancitkan dengan objek tajam dan terdapat kesan calar di badan kereta," katanya.

Wee Nee berkata keretanya diletakkan di lot parkir khas.

Katanya, ini merupakan kali pertama kes vandalisme kereta sejak menetap di kondominium itu selama 20 tahun.

Jelasnya lagi, dia perlu mengeluarkan kos sebanyak RM 15,000 untuk membaiki dan mengecat semula keretanya.

Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Por berkata, Honda Civic dan dua Perodua Kenari milik mereka masih dalam keadaan baik semasa suaminya yang pulang pada tengah malam.

"Saya percaya kejadian berlaku pada awal pagi," katanya.

Jelas Por, kos untuk mengecat semula keretanya itu sebanyak RM 4,000.

Pemilik Honda CRV dan Perodua Kelisa yang enggan dikenali berkata, kos untuk mengecat semula keretanya dianggarkan dalam RM 7,000.

Kesemua mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian.

Asid, Green Lane

Artikel Lain