suria

Kakitangan MAS Bakal Ditamatkan Perkhidmatan Mula Terima Pampasan 7 September

Alias Aziz.

KUALA LUMPUR: Kakitangan Malaysia Airlines (MAS) yang bakal ditamatkan perkhidmatan mulai 1 September ini dijangka mula menerima pampasan mulai 7 September.

Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Malaysia Airlines (MASEU) Alias Aziz berkata kira-kira 6,000 kakitangan akan menerima pampasan itu pada tarikh berkenaan.

"Bagi yang berkhidmat lebih dari 10 tahun mereka akan menerima satu setengah bulan gaji terakhir dikalikan dengan tahun perkhidmatan mereka."

"Mereka yang berkhidmat kurang 10 tahun pula dijangka menerima satu bulan gaji terakhir dikalikan tahun perkhidmatan, manakala Orang Kurang Upaya (OKU) dan suami isteri yang bekerja di syarikat sama, seorang daripada mereka akan menerima tambahan 30 peratus, " katanya.

Bagaimanapun katanya, itu merupakan formula yang diberi syarikat dalam surat kepada individu tanpa menyatakan jumlah pampasan yang akan diterima setiap seorang.

Katanya setakat ini formula tersebut adalah mengikut peraturan ditetapkan dan MASEU akan meneliti semula setelah jumlah pampasan diketahui kelak.

Sementara itu, Alias berkata MASEU kini dalam proses menubuhkan sebuah koperasi bagi menjana pendapatan dan membantu mendapatkan pekerjaan baharu bagi bekas kakitangan MAS itu.

Katanya setakat ini ia dalam peringkat penyiapan portal komuniti yang dijangka dilancarkan awal September ini.

Alias berkata perancangan yang dibuat kakitangan ini antaranya mendapatkan permit teksi, menternak ikan serta memulakan perniagaan menggunakan wang pampasan yang diperolehi.

"Ada antara mereka yang tidak minat berniaga, maka kita sedaya upaya membantu mendapatkan apa jua pekerjaan yang sesuai untuk mereka meneruskan hidup" katanya.

Alias juga berharap agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Tekun akan memberi bantuan pinjaman serta khidmat nasihat kepada kakitangan ini dalam menjalankan aktiviti baharu mereka.

Katanya lagi, MASEU akan memastikan kesemua kakitangan yang bakal diberhentikan menerima hak mereka dan mana-mana yang masih mempunyai masalah akan dibantu sehingga selesai.

"MASEU juga masih ada harta sebanyak RM10 juta. Kita akan pastikan kesemua 8,000 ahli dan kakitangan lain yang bukan ahli tidak teraniaya dan mendapat pekerjaan yang stabil" katanya.

Seramai 20,000 kakitangan MAS ditamatkan perkhidmatan bermula 1 Jun lepas disusuli surat tawaran kepada 14,000 kakitangan untuk menyertai entiti baharu Malaysia Airlines Berhad (MAB) sebagai penstrukturan semula syarikat penerbangan negara itu.


MASEU, MAS

Artikel Lain