suria

Orang Melayu Lindungi Saya - Wartawan Media Cina

Chan Woei Loon.

PETALING JAYA: Seorang wartawan yang dipukul semasa membuat liputan insiden kekecohan di Plaza Low Yat pada Ahad berkongsi cerita disebalik detik hitam peristiwa itu.

Menurut wartawan jenayah Sin Chew Daily, Chan Woei Loon, apa yang berlaku pada hujung minggu lalu tiada kaitan dengan isu perkauman seperti yang dibuktikan individu yang menyelamatkannya daripada dipukul.

"Selepas dipukul dengan teruk, terdapat beberapa wartawan Melayu cuba membantunya. Terdapat juga beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang membawa saya ke hospital.

"Doktor yang merawat saya juga Melayu. Kejadian ini tiada kaitan dengan isu perkauman.

"Tidak kira apa bangsa anda, jika ada yang di dalam kesusahan, kita ada untuk membantu," katanya dalam entri berbahasa Cina di laman Facebooknya yang diterjemahkan dalam Bahasa Melayu.

Chan berkata punca utama kejadian itu bukan melibatkan bangsa tetapi kebodohan.

Katanya, sebagai wartawan jenayah selama lima tahun dan pernah membuat liputan bantahan yang sama, beliau menjangka tidak akan diapa-apakan semasa insiden pada Ahad lalu.

"Namun saya dipukul dan cedera," katanya.

Mengimbas kembali kejadian itu, Chan berkata beliau dan seorang jurugambar ditugaskan untuk membuat liputan semasa bantahan di Plaza Low Yat kerana mereka bekerja pada syif malam.

Ketika saya menghantar berita di kedai mamak berdekatan, berikutan sidang media pada pukul 11 malam, satu lagi pergaduhan tercetus.

"Memandangkan saya berada di kedai mamak, saya melihat seorang jurugambar China Press, Sam Kar Haur, dikejar dan dipukul sekumpulan individu.

"Sam cuba melarikan diri tetapi ditolak dan jatuh berdekatan kedai mamak ketika kumpulan tersebut menyerangnya.

"Saya berlari untuk menyelamatkannya tetapi terdapat kira-kira 20 hingga 30 individu memukulnya. Saya hanya dapat melindunginya. Oleh kerana itu, saya juga ditumbuk dan dipukul dengan topi keledar.

"Pada masa itu, beberapa lelaki Melayu menolak mereka yang cuba memukul kami dan menyelamatkan Sam. Saya melarikan diri ke satu lorong kecil.

"Apabila saya sampai di lokasi polis berada, mereka berhenti memukul saya," kata Chan.

Beliau berkata insiden itu merupakan satu peringatan bahawa terdapat ramai orang sanggup membantu anda ketika berdepan saat sukar seperti semasa kekecohan tersebut berlaku.

"Mari kita tolak sebarang komen bersifat perkauman," katanya.

Chan dan Sam antara lima individu yang cedera dalam insiden kekecohan dekat Plaza Low Yat pada malam Ahad lalu.

Saksi berkata sekumpulan lelaki seramai 50 hingga 60 orang meluru masuk ke dalam sebuah kedai makan dekat pusat membeli belah dan menyerang pengunjung dengan topi keledar sekitar tengah malam.

Artikel Lain