suria

Plaza Low Yat Kembali Beroperasi & Dikunjungi Orang Ramai

KUALA LUMPUR: Plaza Low Yat kembali beroperasi seperti biasa, selepas insiden pergaduhan yang berpunca daripada kes mencuri telefon dan penyebaran khabar angin berunsur perkauman yang tidak bertanggungjawab.

Tinjauan Bernama mendapati pusat perniagaan alat teknologi maklumat dan komunikasi di Bukit Bintang itu mula beroperasi seperti biasa bermula 10 pagi walaupun masih belum dibanjiri ribuan pelanggan seperti sebelum ini.

Selain pengunjung tempatan, turut kelihatan beberapa kumpulan pelancong asing yang mengambil peluang mengunjungi beberapa premis bagi membeli telefon bimbit dan peralatan komputer.

Beberapa anggota polis turut kelihatan menjalankan rondaan di dalam dan luar Plaza Low Yat serta terdapat sebuah balai polis bergerak ditempatkan di perkarangan gedung teknologi maklumat (IT) itu.

Seorang pengunjung, Zulkifli Tahir, 52, berkata beliau mengunjungi gedung IT itu untuk mengambil komputer ribanya yang siap dibaiki pada Ahad.

"Walaupun berdasarkan berita yang tersebar di laman sosial mengatakan keadaan di sini teruk, namun saya yakin pihak berkuasa mengawal keselamatan di sini," katanya.

Juruteknik, Kamal Rashid Razak berkata insiden itu tidak sepatutnya ditokok tambah oleh semua pihak, terutamanya melibatkan penyebaran maklumat yang tidak sahih.

"Tidak semua maklumat yang kita baca di laman sosial itu betul. Jangan mudah percaya dan sebar maklumat seumpama itu sama ada secara lisan atau melalui laman media sosial," kata pemuda berusia 27 tahun itu.

Insiden pergaduhan itu disebarkan di laman sosial kononnya berpunca daripada penipuan penjualan telefon bimbit klon, namun siasatan polis mendapati, kes itu melibatkan dakwaan mencuri telefon bimbit.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan berkata orang ramai dinasihati mendapat maklumat yang sahih dan tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan di media sosial agar kejadian itu tidak berulang lagi.

"Mereka yang berkumpul dan bertindak melakukan kekacauan di perkarangan Plaza Low Yat pada Ahad lepas boleh didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Adalah menjadi satu kesalahan untuk berhimpun dalam jumlah yang ramai tanpa mendapat kebenaran dari pihak polis terlebih dahulu," katanya.

Musa berkata ia adalah kes jenayah dan bukannya pergaduhan kaum, justeru itu, diharapkan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan dengan insiden pergaduhan itu dengan memburuk-burukan keadaan dan mengeluarkan kata-kata hasutan.

Anggota Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata kejadian itu berpunca dari kejadian jenayah dan ia tidak sepatutnya dikaitkan dengan pergaduhan kaum.

"Semua pihak harus bersikap rasional dan bukannya emosional dalam isu ini.Tindakan melanggar undang-undang hanya akan menimbulkan suasana tidak aman," katanya.

Sementara itu Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muez Abd Aziz berkata pihaknya kini menjalankan pemantauan di Plaza Low Yat berhubung dakwaan penjualan barangan tiruan di plaza berkenaan.

"Petugas KPDNKK telah mula turun ke lokasi bagi memantau keadaan serta menyiasat dakwaan tersebut serta mengumpul maklumat," katanya.

Muez berkata petugas KPDNKK akan terus menjalankan pemantauan bagi menjaga hak pengguna agar tidak ditipu.

Artikel Berikut

Artikel Lain