suria

1MDB Nafi Dakwaan Kongsi Penyata Yang Dibega Dengan Bank

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menafikan dakwaan bahawa syarikat pembangunan strategik milik kerajaan itu berkongsi penyata kewangan yang dibega dengan bank.

Dalam satu kenyataan, 1MDB berkata Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara  Tony Pua membuat dakwaan itu, dan dilaporkan secara meluas.

"Antara lain, beliau dipetik sebagai berkata bahawa tindakan oleh 1MDB itu akan mencetuskan 'satu keadaan ingkar'," kata 1MDB dalam satu kenyataan.

Syarikat itu berkata tidak jelas kepada 1MDB mengenai apakah asas untuk Tony Pua, sebagai pihak ketiga yang bukan bank kepada 1MDB - dan tidak terlibat dalam urusan dalaman syarikat, membuat dakwaan tidak berasas itu terhadap 1MDB.

"Kami juga dapati Tony Pua enggan mengulas lanjut mengenai 'sebab sahih'  di sebalik kenyataan beliau itu," katanya.

Dalam apa jua keadaan, interaksi antara 1MDB dan bank-bank, termasuk obligasi kerahsiaan, adalah tertakluk kepada kontrak dan undang-undang negara.

1MDB berkata tiada pemberi pinjaman kepada 1MDB yang mengumumkan sebarang keingkaran seperti alasan yang diketengahkan oleh Tony Pua.

Tambahan pula, penyata kewangan rasmi 1MDB boleh didapati oleh orang ramai di laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan mereka boleh mengakses dokumen untuk tujuan pengesahan.

Ia berkata 1MDB kesal ke atas kenyataan seperti itu ke atas syarikat oleh pihak ketika seperti Tony Pua, dan dilaporkan kononnya benar di media sosial dan laman-laman berita dalam talian.

"Tindakan itu memberi impak ke atas operasi harian 1MDB, syarikat 100 peratus milik kerajaan, dan pelaksanaan pelan rasionalisasi 1MDB.

"Justeru, 1MDB meminta semua pihak supaya merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh 1MDB, serta akaun yang diaudit yang boleh diperoleh, untuk maklumat tepat," katanya.


1MDB, Tony Phua, penyata bank

Artikel Lain