suria

Palanivel Akan Fail Rayuan Ke Mahkamah Persekutuan Dalam Masa Terdekat

G.Palanivel.

KUALA LUMPUR: Kemelut MIC kelihatan tiada penghujungnya berikutan Datuk Seri G. Palanivel dan tiga yang lain akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan dalam masa terdekat bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin.

Naib Presiden MIC Tan Sri S. Balakrishnan berkata pihaknya akan memfailkan rayuan secepat mungkin bagi mendapatkan penjelasan daripada mahkamah berhubung kuasa Pendaftar Pertubuhan (RoS) terhadap sebarang keputusan membabitkan parti politik.

"Saya percaya bahawa sebarang keputusan yang (bakal) diputuskan di Mahkamah Persekutuan akan menentukan hala tuju sesebuah parti politik dan akan menjadi rujukan," katanya dalam sidang media di sini, Selasa.

Pada Isnin, Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas Presiden MIC Palanivel dan tiga individu lain, Naib Presiden MIC Datuk S. Sothinathan, Balakrishnan serta bekas Setiausaha Agung MIC A. Prakash Rao, untuk mengetepikan arahan RoS supaya parti itu mengadakan pemilihan semula.

Panel tiga anggota, dipengerusikan Hakim Datuk Aziah Ali, memutuskan bahawa RoS tidak bertindak melampaui dan melebihi bidang kuasanya apabila mengeluarkan arahan itu.

Balakrishnan juga berkata Palanivel akan mengadakan mesyuarat Interim Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) 2009 dalam masa 48 jam bagi menentukan tarikh pemilihan jawatan presiden.

Krisis MIC tercetus berikutan perbezaan pendapat antara Palanivel dan Pemangku Presiden Dr S. Subramaniam selepas RoS mengeluarkan notis pada 5 Disember lepas dengan meminta parti itu mengadakan pemilihan semula parti.

G.Palanivel, RoS, MIC

Artikel Lain