suria

NGO Kesal Dialog Batal, Anggap Peluang Terbaik PM Jelaskan Pelbagai Isu

Dialog Nothing2Hide yang dibatalkan mengecewakan beberapa NGO yang berkumpul sejak awal pagi untuk mendengar penjelasan Najib, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menyatakan rasa kesal dengan pembatalan program dialog Nothing2Hide bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah berkata, program tersebut merupakan peluang terbaik bagi Najib memberi penjelasan kepada NGO mengenai beberapa isu yang dikaitkan dengan dirinya.

"Kita kesal PM tidak hadir. Ini peluang terbaik untuk PM beri penjelasan kepada NGO selepas ramai NGO utus surat untuk jumpa PM tetapi tidak berhasil," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas program tersebut dibatalkan.

Mohd Ridzuan berkata, penjelasan mengenai isu yang menyelubungi perdana menteri perlu diperjelaskan kepada NGO supaya ia dapat dipanjangkan kepada rakyat.

"Kita lihat PM bukan 100 peratus bersalah dalam perkara ini. Jadi beliau perlu adakan perjumpaan yang kerap supaya NGO mudah faham dan kita akan jelaskan kepada rakyat.

"Hari ini kita tengok rakyat lebih selesa dengan NGO. Maka NGO boleh sampaikan kepada rakyat apa yang berlaku sebenarnya," katanya.

Mengenai kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau bersetuju kedua-dua Najib dan Dr Mahathir perlu ada pada program itu.

"Kita sayang PM, tapi dalam isu ini kita lihat kehadiran Dr Mahathir juga perlu ada kerana beliau juga ahli Umno dan Barisan Nasional (BN). Beliau (Dr Mahathir boleh dikatakan sebagai penyelamat," katanya.

Menurut beliau, ketiadaan Najib pada program tersebut turut bertentangan dengan kenyataannya sebelum ini yang menegaskan akan berjuang berhabis-habisan walau apapun yang berlaku.

"Nampaknya kenyataan itu tidak sama seperti yang berlaku pada hari ini. Kita tak tahu apa yang berlaku dan kita juga tak tahu PM tak hadir," katanya.

Sementara itu, seorang wakil NGO yang hanya mahu dikenali sebagai Zareena mempersoalkan kewajaran sesi dialog bersama perdana menteri diadakan sekiranya 'empunya badan' iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri tidak hadir.

Menurutnya, tindakan tersebut seolah-olah perdana menteri tidak menghargai harapan rakyat yang sedia mendengar penjelasan dan jawapan berhubung isu dan dakwaan berbangkit.

"Kami datang sejak awal pagi dengan harapan dapat bertemu dengan perdana menteri. Inilah masanya untuk beliau jawab soalan dan kita cuba mempertimbangkan penjelasan itu.

"Pelbagai isu yang timbul sebelum ini buat kami kurang yakin tetapi perdana menteri seperti tidak mahu meraih semula kepercayaan itu," katanya.

Bagaimanapun Zareena berkata, Najib pastinya mempunyai alasan munasabah untuk tidak hadir ke program itu, lebih-lebih lagi apabila polis mengumumkan mengenai pembatalan Nothing2Hide.

"Apapun, kami berharap tarikh baharu untuk sesi dialog dapat segera ditetapkan kerana rakyat mahu mendapatkan jawapan daripada perdana menteri.

"Kami masih menyokong perdana menteri tetapi berusahalah untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain