suria

"Saya Perlu Pura-Pura Gembira" - Dr Hatta

Dr Hatta dikerumuni wartawan sebaik kelihatan masuk ke Stadium Tertutup Kuala Selangor, Jumaat.

KUALA SELANGOR: “Saya perlu berpura-pura gembira,” demikan kata bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Hatta Md Ramli ketika mengulas mengenai kekalahannya dalam pemilihan parti itu yang berlangsung pada Khamis.

Selepas bercakap kepada media, Hatta bergegas masuk ke Stadium Tertutup Kuala Selangor di mana berlangsungnya hari kedua Muktamar Tahunan PAS ke-61.

“Saya perlu tunjuk muka,” katanya berseloroh.

Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai bukan satu-satunya pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan kali ini, namun hadir ke muktamar seperti biasa.

Majoriti Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dalam kepimpinan terdahulu yang tewas dilihat hadir dan berada di pentas bersama kepimpinan lain sebelum pengumuman keputusan penuh dibuat dalam Muktamar PAS pada Jumaat.

Antara yang dilihat hadir selain Hatta ialah Salahuddin Ayub, Datuk Mahfuz Omar, Dr Dzulkefly Ahmad, Hanipa Maidin, Khalid Samad serta Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Kira-kira 10 minit selepas muktamar bersambung, bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dilihat naik ke pentas dan menyertai barisan kepimpinan lain.

Mohamad atau lebih terkenal dengan panggilan 'Mat Sabu' mendapat 279 undi berbanding pencabarnya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memperoleh 881 undi.

Ketika Pengarah Muktamar Tahunan PAS ke-61, Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan senarai keputusan penuh pemilihan, perwakilan dan pemerhati PAS melaungkan takbir apabila nama daripada kumpulan pro-ulama diumumkan menang.

Mengulas lanjut, kata Dr Hatta, keputusan pemilihan turut menyaksikan perwakilan PAS memilih berdasarkan perkembangan yang berlaku di peringkat kepimpinan sayap.

“Seperti yang kita lihat ada trend telah dibuat dalam muktamar dewan-dewan. Jadi keputusan di peringkat pusat pun ikut trend yang dilakar di dewan tersebut.

“Bukan sesuatu yang memeranjatkan. Kita nampak ramai jawatankuasa pusat yang lalu tak terpilih dan saya rasa itu juga boleh berlaku dalam sistem pemilihan mana-mana organisasi.

“Perwakilan dah buat keputusan, jadi kita harus terima keputusan tersebut walaupun ada rasa terkilan atau sedih. Itu adalah perkara biasa dalam sesuatu pertandingan,” katanya.

Sementara itu, Salahuddin yang kalah dalam pertandingan merebut jawatan Naib Presiden PAS berkata, keputusan pemilihan PAS memperlihatkan perwakilan parti itu mahu meletakkan jurang yang besar antara kumpulan ulama dan profesional.

Katanya, kepimpinan ulama tanpa sokongan kumpulan profesional yang dianggap progresif disifatkan menjadi pendekatan politik yang diperlukan dalam PAS pada masa ini.

"Trend pengundian nampaknya begitu. Mungkin itu kehendak perwakilan bagi sesi ini. Apa pun saya menghormati keputusan itu.

"Mungkin itu adalah cara atau stail pendekatan politik yang diperlukan buat masa ini," katanya ketika ditemui di muktamar tahunan itu.



Artikel Lain