suria

Anak Digunakan Untuk Sindir GST

PERLINDUNGAN kanak-kanak biasanya dikaitkan dengan penjagaan daripada penderaan dan keganasan atau budak itu dibiarkan di dalam keadaan yang tidak dijaga atau mengancamkan nyawanya.

Bagaimana pula dengan penggunaan kanak-kanak di dalam aktiviti yang membolehkan pihak lain mendapat faedah politik darinya?

Sebenarnya, ia juga di bawah kawalan Akta Kanak-Kanak 2011 yang menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak di bawah 18 tahun demi kepentingan keselamatan, kesihatan dan persekitaran hidup mereka.

Maka, penulis hairan kenapa pihak yang bertaggungjawab ke atas penguatkuasaan Akta ini amat lembab untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang telah menggunakan seorang kanak-kanak sekolah rendah untuk menyindir pemimpin negara dan membuat hasutan terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Kita akui bukan semua rakyat Malaysia memahami atau merestui GST,yang kononnya membuat harga barangan harian melambung tinggi dan membebankan rakyat jelata.

Tapi, menggunakan seorang anak gadis – yang mungkin berusia tujuh atau lapan tahun – untuk agenda politik ibu-bapa amat dikesali.

Memeranjatkan!  Itulah deskripsi yang penulis dapat beri setelah melihat klip video di dalam laman sosial YouTube yang menunjukkan budak sekolah itu  menyanyikan lagu yang mencercakan GST.

Tak mungkin murid kecil itu, yang lengkap berpakaian seragam sekolah rendah, menulis lirik lagu itu sendiri dan tidak mungkin dia beraksi tanpa terlebih dulu berlatih di hadapan ahli-ahli keluarganya di rumah.

Penyampaian senikata dan gaya dendangan mengikut irama lagu kanak-kanak Baa Baa Black Sheep dengan begitu yakin sekali menunjukkan bahawa budak perempuan ini amat bersedia menyanyikan lagu itu di hadapan kamera.

Senyuman manis mengiringi suara yang riang tatkala budak itu, yang kelihatan duduk di kerusi depan sebuah kereta, mengalunkan lagu itu semasa perjalanan ke sekolah.

ABCDGST

Lirik lagu berbunyi: “ABCDGST harga semua naik tinggi. Gaji pun tak naik lagi, kena makan Maggi mee. ABCDGST, Najib tipu rakyat lagi”.

Klip video selama kira-kira satu minit itu telah dimuatnaik di dalam laman sosial, blog dan beberapa portal berita dengan mendapat pelbagai reaksi dari pengikut siber dari seluruh pelusuk negara.

Tidak semua menganggap ia sebuah video yang lucu atau bijak.

Mungkin ibu-bapa budak itu, yang tidak segan mengemukakan wajah anak mereka tapi tidak berani menunjukkan muka sendiri, kini merasa bangga dan semakin angkuh kerana telah melaksanakan “khidmat negara” mereka untuk nusa dan bangsa.

Tapi, bagaimana pula keadaan kanak-kanak yang telah diperalatkan itu?

Budak itu tiba-tiba menjadi suatu liabiliti kepada sekolah dan sudah tentu kesnya akan di bawa ke mesyuarat persatuan ibu-bapa dan guru dan mungkin, hingga ke bilik mesyuarat Jabatan Pendidikan Daerah dan Kementerian Pelajaran.

Penulis dapat bayangkan, di sekolah dia diberi pandangan sinis di mana saja dia pergi dan dipinggirkan oleh rakan-rakan sedarjah dan guru-guru yang mengajarnya. Jika ada guru yang baik hati, budak kecil itu akan diberi kaunseling mengenai akhlak dan budi bahasa.

Tentunya keadaan seperti dipulaukan oleh teman-teman sekolah atau dibiarkan oleh cikgu-cikgu agar dia membawa haluannya sendiri – kerana pandai melampaui silibus sekolah -  akan memberi satu impak yang menyedihkan kepada budak itu kelak.

Jika dia merundum di dalam kelas atau peperiksaan, sudah tentu ibu-bapanya akan sekali lagi menunding jari kepada pihak pemerintah.

Ketika itu, barulah umum akan mengenali anak siapa budak yang malang itu.

DASAR TIADA TARING

Sebelum ini, kita sudah melihat dan membaca mengenai ibu-bapa yang membawa anak mereka menyertai rapat umum atau perarakan haram di jalanan tanpa menghiraukan ancaman kepada kesihatan atau nyawa kanak-kanak yang mereka membawa bersama.

Di sini juga penulis ingin bertanya; kenapa tiada siapa pun didakwa di bawah Akta Kanak-Kanak berkenaan agar ia menjadi suatu teladan bagi semua ibu-bapa yang terlalu ghairah dengan perjuangan politik mereka hingga sanggup mengabaikan kesihatan dan keselamatan anak?

Sepanjang pengetahun penulis, kita mengamalkan sebuah dasar kanak-kanak negara yang menetapkan beberapa objektif, terutama menjadikan tanggungjawab semua untuk melindungi kanak-kanak dari eksploitasi dan segala bentuk ancaman kepada kesejahteraan mereka.

Objektif lain termasuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan mesra kanak-kanak dan menetapkan hanya individu yang bersesuaian sahaja boleh berurusan secara langsung atau tidak langsung dengan kanak-kanak.

Maka, dalam kes kanak-kanak ABCDGST ini, ibubapanya boleh dianggap tidak sesuai menjagainya kerana tidak melindungi gadis kecil itu dari pengaiban, penderaan emosi, keganasan (kerana memaksa budak yang mentah pemikiran menuruti pihak yang berkuasa ke atasnya) dan dari sudut eksploitasi.

Dasar ini juga memberi hak bersuara kepada organisasi-organisasi yang berkaitan dengan kebajikan kanak-kanak untuk menegur pihak yang bersalah, tapi dalam kes ini pertubuhan-pertubuhan seumpama ini memilih untuk membisu.

Sudah sampai masanya untuk pihak berkuasa ke atas Akta Kanak-Kanak ini menunjuk taring dan sedar sebaik-baiknya bahawa kanak-kanak merupakan modal insan penting bagi negara.

Sehubungan itu, perlindungan terhadap kanak-kanak daripada segala bentuk bahaya, ancaman dan penggunaaan sebagai alat politik hendaklah diberi keutamaan.

Jangan difikirkan bahawa ancaman kepada kanak-kanak adalah semata-mata dari segi penderaan dan pencabulan fizikal dan seksual kerana perkembangan kebelakangan ini menunjukkan mereka mudah didera – sama ada di sedari atau tidak -  dari segi  mental, emosi dan maruah diri.

Ketika ini, penulis melihat kepincangan terletak dari aspek pencegahan kerana, walaupun ada amaran awal mengenai kanak-kanak ABCDGST ini, mekanisme yang sepatutnya bertindak bagi melindungi beliau dari usikan yang lebih dahsyat di masa depan, tidak langsung bergerak.

Diharapkan, sekurang-kurangnya, budak itu di beri kaunseling dan pengetahuan asas untuk membolehkan dia sendiri melindungi diri dan menyatakan “tidak” kepada apa-apa usaha untuk menggunakan dia lagi di masa depan.

Semoga, Dasar Perlindungan Kanak-Kanak benar-benar menjadi pemangkin kepada kesedaran dan komitmen semua pihak, termasuk setiap anggota masyarakat dan khususnya ibu-bapa, dalam melindungi kanak-kanak Malaysia.

  

GST, Akta Kanak-Kanak

Artikel Lain