suria

Penyelia Kopitiam Dipenjara Tujuh Tahun

SHAH ALAM: Seorang penyelia kopitiam dijatuhi hukuman penjara berjumlah 175 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, Isnin selepas didapati bersalah terhadap 25 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang hasil jualan bekas majikannya lebih RM130,000.

Hakim Zamri Bakar memerintahkan wanita itu, Heng Chai Lang, 41, menjalani hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, beliau memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan secara serentak bermula Isnin, yang bermakna Heng hanya perlu menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun.

Ketika menjatuhkan hukuman, Zamri berkata pembelaan tertuduh didapati bersifat penafian kosong semata-mata dan pihak pembelaannya gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Seramai lima saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.

Heng didakwa melakukan 25 kesalahan pecah amanah wang hasil jualan berjumlah RM130,441.30 di kopitiam yang diusahakan oleh Carefree Avenue Sdn Bhd di Jusco Bukit Raja, Klang dekat sini antara Disember 2010 dan Februari 2011.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebat, dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, peguam Nurazimul Azimin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah insaf.

Selain ia merupakan kesalahan pertamanya, tertuduh mempunyai seorang anak berusia tiga tahun yang memerlukan penjagaannya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin.

Artikel Lain