suria

Kedutaan Nepal Tubuh Jawatankuasa Penyelaras Bantuan Mangsa Gempa Bumi

PETALING JAYA: Kedutaan Nepal di Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Penyelaras Bantuan bagi mengumpul dana bagi membangunkan semula kawasan terjejas susulan gempa bumi Nepal yang mengorbankan lebih 3,200 nyawa pada Sabtu.

Ahli Jawatankuasa berkenaan, Datuk Pradip Kukrecha berkata, tujuan  mengumpul dana itu adalah untuk pembinaan semula dan operasi menyelamatkan mangsa bencana itu.

"Kami juga mengumpul barangan keperluan dan makanan untuk dihantar ke Nepal dan beberapa sukarelawan akan dihantar ke negara itu untuk memberi bantuan," katanya.

Pradip juga berkata, Kedutaan Nepal di Malaysia akan dimaklumkan melalui WhatsApp mengenai perkembangan terkini di sana jika mereka memerlukan bantuan.

"Bencana yang berlaku itu memusnahkan 40 peratus kawasan Kathmandu akibat gempa bumi itu dan ketika ini, senarai bekalan perubatan sedang disediakan untuk dihantar ke sana," katanya.

Jawatankuasa Penyelaras Bantuan itu ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Duta Nepal di Malaysia, Dr Niranjan Man Singh Basnyat pada Ahad.

Hasil bantuan yang diterima menerusi Rayuan Kanak-kanak Gempa Bumi Nepal akan disalurkan kepada kanak-kanak dan keluarga yang paling terjejas akibat gempa bumi tersebut.

Wakil Tabung kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Wivina Belmonte berkata, keutamaan organisasi itu adalah untuk menyelamatkan mangsa terutama kanak-kanak serta ahli keluarga dengan membekalkan ubat-ubatan, makanan, air bersih serta kit kebersihan.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan kepada Jawatankuasa Penyelaras Bantuan Kedutaan Nepal boleh menghubungi 03-20201898/1899 atau emel [email protected].

Artikel Lain