suria

PRK Permatang Pauh: Calon BN Terima Reaksi Positif Pengundi

Suhaimi (kanan) bersama Puteri Umno mengedarkan risalah dan kad pengenalan dirinya sebagai calon PRK Permatang Pauh pada Isnin.

BUKIT MERTAJAM: Calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin, gembira apabila pendekatan berkempen dari rumah ke rumah untuk menemui pengundi menerima reaksi positif.

Malah Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh itu berkata, pengundi di kawasan berkenaan begitu mesra menyambut kehadirannya.

“Setakat sekarang ini semuanya OK. Pengundi beri reaksi yang positif terhadap BN (Barisan Nasional ) dan saya sendiri.

“Tak ada yang tutup pintu apabila saya ziarahi mereka,” katanya kepada mStar Online di Bandar Sunway, Seberang Jaya pada Isnin.

Calon BN berusia 44 tahun itu ditemui ketika menyertai jentera Puteri Umno mengedarkan akhbar dan kad nama kepada masyarakat setempat di sini.

Kelihatan segak berbaju kemeja rona biru, Suhaimi berkata, beliau begitu semangat untuk menemui seramai mungkin pengundi di Parlimen Permatang Pauh tanpa mengira jantina, bangsa mahupun agama serta fahaman politik.

“Saya cuba untuk jumpa semua orang, tak kira siapa pun. Orang yang sokong belah sana pun saya nak jumpa.

“Saya cuma nak minta tolong mereka beri sokongan kepada BN dan saya untuk bawa perubahan,” katanya.

Selain itu, ketika menemui penduduk setempat di sekitar pusat perniagaan di sini, Suhaimi juga dilihat ceria ketika disapa orang ramai.

“Oh ni lah Suhaimi, elok-elok, kena kerja keras. Nanti kita tolong,” kata seorang penunggang motosikal yang sempat berhenti dan bersalaman dengannya.



Artikel Berikut

Artikel Lain